Salam Sejahtera

"Ini adalah semata-mata catatan saya berdasarkan kepada apa yang saya lalui, sama ada ianya urusan rasmi berkaitan tugas mahupun catatan aktiviti peribadi serta apa yang dirasakan seharusnya dikongsi bersama"
"USE YOUR HEART WHEN YOU DEAL WITH OTHERS, AND USE YOUR BRAIN WHEN YOU DEAL WITH YOURSELF"

Saturday, January 23, 2010

KEMBARA 1MALAYSIA KKLW - Siri 6, Menjelajah Rumah Panjang Di Sarawak.

SALAM SEJAHTERA,

Seperti yang telah dijanjikan dalam post saya di Siri 5, saya akan memaparkan gambar-gambar yang memberi makna tersendiri. Pilu, sayu dan insaf.

Gambar-gambar kehidupan insan yang nun jauh di pedalaman negeri Sarawak, yang masih jauh tertinggal dari arus pembangunan jika dibandingkan dengan kehidupan sebahagian kita yang berada di Kotaraya Metropolitan Kuala Lumpur atau lain-lain pekan di Semenanjung Malaysia.

Gambar-gambar yang memaparkan kesukaran capaian ke penempatan mereka. Gambar-gambar yang tak mungkin dirakamkan jika tiada pengangkutan moden seperti helikopter bagi membolehkan kita sampai ke destinasi berkenaan dalam masa yang singkat.

Gambar-gambar yang memaparkan pelbagai kesukaran dan pengharapan serta tagihan pembangunan yang seimbang.



Sebahagian Ahli Rombongan Bergambar Sebelum Bertolak Ke Marudi.

Pada tanggal 19 Januari 2010 kami bertolak dari Miri menuju ke Marudi dengan menaiki pacuan 4 roda. Hampir 25 orang menyertai kembara kali ini yang diketuai oleh Y. Bhg Dato' Shahlan Bin Ismail, Setiusaha Politik kepada YAB Perdana Menteri Malaysia.

Oleh kerana 3 hari berturut-turut hujan tidak berhenti sebelum kami tiba di Miri, kedaaan jalan menuju ke Marudi amat mencabar. Perjalanan sejauh 45 km. mengambil masa hampir 3 jam untuk kami sampai di pekan Marudi. Lihatlah kesukaran kami merempuh perjalanan berkenaan melalui gambar-gambar di bawah:-

Bentuk Jalan Yang Kami Tempuhi.

Sebuah Kenderan Terkandas.

Jalan Yang Agk Teruk dan Becah.

Perjalanan 20km. Sejam.

Sebahagian Jalan Yang Agak Baik.

Lagi Terkandas Di Jalan Gambut.

Projek Jalan Kampung KKLW.

PJK KKLW Menuju Rumah Panjang.

Kenangan Yang Tiada Nilai.

Menunggu Giliran Menaiki Feri.

Air Yang Tenang Jangan Sangka Tiada Sang Buaya.

Setelah hampir 3 jam merempuh pelbagai rupa bentuk jalan, kami tiba di pekan Marudi dan membuat tinjauan ke atas permasalahan yang dihadapi oleh penduduk tempatan.

Masjid Marudi.

Mendengar Masaalah Penduduk Tempatan Di Masjid Marudi.

Meninjau Tebing Sungai Baram.

Meninjau Keadaan Kampung Yang DiTenggelami Air.

Persinggahan kami di Marudi adalah untuk meninjau keadaan Masjid yang sering ditenggelami air di musim banjir serta sekitar perkampungan akibat sistem perparitan yang tidak mencukupi. Penduduk tempatan meminta agar benteng sungai ditinggikan bagi mengelakkan air banjir melimpah memasuki kampung.

Dari Marudi kami menaiki 4 buah helikopter menuju Tanjung Mawang, Baram yang mengambil masa selama 20 minit.

Di Tanjung Mawang kami membuat tinjauan keperluan sebuah jambatan yang menghubung kan perkampungan ke Sekolah Kebangsaan Tanjong Mawang serta cadangan menaikkan taraf jalan kampung.

Bersedia Untuk Berlepas.

SK Tanjung Mawang.

Disambut Oleh Penduduk Tanjung Mawang, Baram.



Sekadar Kenangan.

Dari Tanjung Mawang,kami meneruskan kembara ke Long Teram untuk meninjau keperluan jambatan dan klinik kesihatan.

Perjalanan kami dari Tanjung Mawang ke Long Teran dengan helikopter megambil masa selama 15 minit.

Setiba sahaja di Long Teram kami disambut dengan agak meriah oleh penduduk tempatan dari suku kaum Iban.

Bersambung di Siri 7.

Monday, January 18, 2010

KEMBARA 1MALAYSIA KKLW - Siri 5

Salam sejahtera,

Berjumpa semula kita di alam cyber.

Catatan saya kali ini akan membicarakan lawatan rasmi saya bersama-sama Setiausaha Politik Perdana Menteri Malaysia Y. Bhg. Dato' Shahlan Bin Ismail ke berberapa lokasi di kawasan pedalaman negeri Sarawak.



Kembara kami akan bermula pada 19 dan 20 Januari 2010. Meninjau Pembangunan Ekonomi Rakyat di Kawasan Pedalaman Sarawak.

Pada 20 Januari 2010 dari Kucing kami akan bertolak ke Miri bagi memulakan kembara. Dari Miri kami akan ke Marudi untuk meninjau kawasan yang sentiasa dilanda banjir dan seterusnya ke Tanjong Mawang dengan menggunakan helikopter untuk meninjau cadangan membina sebuah jambatan bagi memudahkan murid-murid ke sekolah.

Dari Tanjong Mawang melalui jalan darat kami akan ke Long Teran, juga untuk meninjau keperluan jambatan bagi menyambung jalan perhubungan ke klinik, sekolah dan rumah panjang.

Dari Long Teran kami akan bertolak ke Long Selipin dengan helikopter untuk meninjau kawasan yang sering dilanda banjir dan seterusnya ke Sg. Entulang untuk meninjau keadaan kampung. Selepas itu kami akan bertolak ke Sg. Liam melalui jalan darat untuk meninjau keadaan jalan dan kampung serta keperluan dewan masyarakat di kawasan tersebut.

Makan malam kami dijangka di rumah panjang Sg. Liam dan seterusnya akan bertolak balik ke Miri untuk bermalam.



Keesokan harinya kami akan meneruskan kembara ke Ulu Lubai dengan menggunakan helikoter untuk meninjau keadaan rumah panjang dan hakisan tebing sungai yang berlaku akibat banjir.

Dari sana kami akan ke Long Napir, juga dengan helikopter untuk membuat lawatan ke Sekolah Long Napir dan membuat tinjauan keperluan jalan serta klinik kesihatan,

Seterusnya kembara kami akan ke Kuala Medalam untuk meninjau keperluan jalan dan bekalan elektrik untuk sekolah, empat rumah panjang serta klinik kesihatan.

Kembara kami diteruskan lagi untuk hari kedua ke Limbang melalui Ng. Medamit melalui jalan darat bagi meninjau keperluan jeti, jambatan dan jalan di Kampung Pengkalan Jawa.

Kembara kami dijangka tamat hampir waktu senja dan seterusnya bertolak balik ke Miri.

Dari Miri saya akan menruskan perjalanan ke Kota Kinabalu untuk urusan rasmi KKLW pula di Sabah pula.

Begitulah, catatn ringkas kembara saya kali ini yang melibatkan penerbangan dengan helikopter sebanyak 7 kali dan InsyaAllah akan saya paparkan hasil kembara saya ini sebaik sahaja pulang dari Sarawak nanti. Akan juga di paprkan gambar-gambar yang sudah pasti ditunggu-tunggu oleh pembaca yang tidak berpeluang untuk melawat kawasan pedalaman Sarawak. InsyaAllah.

Tuesday, January 5, 2010

KEMBARA 1MALAYSIA KKLW - Siri 4

Assalamualaikum,

Bertemu kembali kita dalam siri Kembara 1Malaysia KKLW.

Untuk kali ini saya ingin berkongsi bersama apa yang telah saya ketemui apabila membuat tinjauan susulan ke atas penduduk di Pulau Larapan, Semporna, Sabah, susulan kepada lawatan saya pada 18 Disember 2009 yang lalu yang dipaparkan di dalam Siri - 3 Kembara 1 Malaysia KKLW.

Lawatan yang dibuat pada 4 Januari 2010 adalah semata-mata untuk melihat secara lebih dekat, kehidupan 10 penduduk miskin tegar yang telah disahkan sebagai penduduk miskin yang disenaraikan didalam e-kasih. Mereka ini akan diberi bantuan rumah di bawah Pogram Bantuan Rumah Miskin Tegar (PBR).

Alangkah terkejut dan tidak terfikir diakal yang waras, bagaimana di dalam sebuah rumah begitu sempit dan terlalu uzur, tampa bilik dihuni oleh 30 insan dari 3 keluarga, 3 generasi. Apatah lagi kemudahan asas yang jauh sekali dinikmati oleh mereka. Tiada bekalan elektrik mahupun bekalan air bersih. Hanya pelita minyak tanah dan air hujan yang menjadi sumber bekalan bagi mereka.

Ruang Ini Didiami Oleh Lebih Dari 20 Orang Dari 3 Keluarga.

Disitulah ruang rehat, ruang dapur dan "tandas terbuka" dan pada waktu malam mereka akan berhimpit antara satu sama lain untuk melelapkan mata. Dan ada di antara mereka yang terpaksa tidur di serambi luar rumah oleh kerana tiada lagi ruang di dalam rumah untuk mereka merebahkan badan......

Lihatlah Berapa Besar Rumah Mereka

Merenung Jauh Mengharapkan Belas Ihsan.

Tak Cukup Jari Membilang Ahli Keluarga. "Di sini Kami Memasak Disiang Hari dan Di sini Jugalah Kami Tidur Di Malam Hari"

Disinilah Ruang Kami Bersantai.

Di serambi Ini Sebahagian Ahli Keluarga Kami Melelapkan Mata Di Malam Hari.

Tiada Apa Yang Kami Miliki.

Sebuah Syurga Bagi Mereka.

Tiga Generasi Yang Terus Terpinggir.

Begitulah gambaran yang saya perolehi apabila membuat tinjauan susulan ke atas penduduk Miskin Tegar Pulau Larapan, Semporna, Sabah. Gambar-gambar yang dipaparkan di atas memberikan gambaran betapa sukarnya kehidupan mereka.

Apapun pihak KKLW akan menyegerakan pembinaan rumah PBR yang lebih selesa bagi mereka dalam masa yang terdekat.

Tinjauan juga dibuat ke atas satu-satunya jalan penghubung di antara perkampungan menuju sebuah sekolah iaitu SK Pulau Larapan yang terletak lebih kurang 1 kilometer dari perkampungan.

Bayangkan seorang kanak-kanak darjah 1 terpaksa meredah kebun ubi kayu dan melalui lorong yang dipenuhi dengan lalang setinggi 1 meter dengan keadaan jalan yang berkerikir. Di manakah semangat mereka untuk belajar, apabila sampai sahaja di sekolah badan telah kepenatan dan kaki lenguh-lenguh kerana memijak kerikir yang tajam dan jalan yang tidak rata di sepanjang jalan.

Jalan Menuju Ke Sekolah Kebangsan Pulau Larapan.

Kebun Ubi Kayu Di Sepanjang Jalan.

Lalang Setinggi 1 Meter.

Semakin Dekat Semakin Tinggi Lalang Dan Batu Kerikir Semakin Besar.

Sekolah Kebangsaan Pulau Larapan.

Satu lagi projek pembinaan jalan pejalan kaki bersimen akan dibina disini oleh KKLW.

Walau apapun yang dipaparkan disini, masih ramai lagi rakyat Malaysia yang perlu dibantu.

Renung-renungkanlah bersama.

Wassalam.

Friday, January 1, 2010

SALAM TAHUN BARU 2010


Salam sejahtera, berjumpa kembali di pagi tahun baru yang hening ini saya mengadap laptop kesayangan untuk mengambil kesempatan mengucapkan "SELAMAT TAHUN BARU 2010" kepada peminat Goloksiam yang setia berkunjung.

Kebiasaanya setiap kali menjelang tahun baru ramai di antara kita akan menanam azam baru, azam yang sekian kali yang di terapkan di sanubari dan sudah pasti azam berkenaan berupa sesuatu yang positif dan akan memberi kebaikan yang diharapkan.

Tiada di antara kita yang menanam azam yang sebaliknya. Maksud saya yang sukar dilaksanakan terutama yang berbentuk negatif. Tak mungkin ada di antara kita yang berazam untuk menjadi perompak atau penagih dadah atau peragut tegar. Tapi itulah yang yang kita ketemui setiap kali menatap akhbar harian.

Dewasa ini, kadar jenayah di negara kita semakin meningkat. Tidak pasti saya sama ada mereka yang terlibat dalam anasir jenayah sedemikian membuat azam pada setiap kali menjelang tahun baru.

Apapun, kita hanya boleh merancang, yang menentukanya adalah tuhan yang maha Esa. Maka, marilah kita sama-sama berazam sesuatu yang agak positif serta yang boleh dan mampu dilakukan oleh kita. Munasabah, terdaya dan seterusnya berusaha melakukan sesuatu bagi mencapai azam yang telah diniatkan sebelum ini.

Sebelum saya mengudur diri untuk kali ini, satu yang saya harapkan pada tahun baru ini agar pengunjung Goloksiam tidak jemu-jemu bertandang ke laman saya ini serta memberi sokongan agar apa yang dipaparkan d masa-masa hadapan akan menjadi satu bahan pengetahuan dan perkongsian pengalaman yang bermakna.

"SELAMAT TAHUN BARU 2010"

Wassalam.

Tuesday, December 22, 2009

KEMBARA 1MALAYSIA KKLW Siri 3

Alhamdulillah, di pagi yang hening ini saya rasa masih belum terlambat untuk mengucapkan "SELAMAT MENYAMBUT AWAL MUHARRAM" kepada pembaca semua.

17 Disember 2009.

Sebenarnya pada hari seluruh rakyat Malaysia berehat di hari cuti umum menyambut Awal Muharram, saya berada jauh di negeri Bawah Bayu, Sabah. Demi keperihatinan YB Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah terhadap penduduk yang sedang menderita akibat tempat tinggal mereka ditimpa bencana kebakaran. Sehari sebelum sambutan Awal Muharram, kami berlepas ke Semporna, Sabah iaitu pada pagi 17 Disember 2009 dan sebaik sahaja sampai di Semporna, lebih kurang jam 12 tengahri kami terus ke Kampung Air, Semporna untuk meninjau kesan-kesan kebakaran yang berlaku pada petang 15 Disember 2009. Lebih kurang 60 buah rumah musnah yang melibatkan 120 keluarga.

Punca kebakaran adalah dari letupan tabung gas memasak yang berlaku di salah sebuah rumah di perkampungan tersebut.

YB Menteri Kemajuan Luar Bandar Mendengar Talimat Kebakaran.

Kesan Kebakaran

Lagi Kesan Kebakaran.

Kami membuat tinjauan kesan-kesan kebakaran dan semasa lawatan dibuat, kami dimaklumkan pihak berkuasa msih lagi mengesan salah satu mayat yang masih belum ditemui. 4 terkorban dalam kebakaran tersebut, dari satu keluarga.

18 Disember 2009.

Keesokan harinya dan hari seluruh ummat Islam menyambut Awal Muharam, satu majlis penyampaian bantuan kepada mangsa-magsa kebakaran telah diadakan di Dewan Masyarakat Tawau, YB Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah telah menyampaikan sumbangan peribadinya kepada semua mangsa kebakaran, sementara KKLW pula menyumbangkan bahan-bahan makanan seperti minyak masak beras dan lain-lain kepada semua mangsa yang terbabit.

Majlis Penyampaian Bantuan Kepada Mangsa Kebakaran Kg. Air.

YB Menteri Menyampaikan Bantuan Kepada Mangsa.

Berita gembira disampaikan oleh YB Menteri kepada mangsa kebakaran di mana KKLW akan membina semula rumah-rumah yang terlibat di bawah Program Bantuan Rumah (PBR) dalam masa terdekat.

Bantuan Dalam Bentuk Makanan dan Wang Tunai Disampaikan Kepada Mangsa

Sebahagian Mangsa Kebakaran Berteduh Sementara Di Dewan Masyarakat Semporna

Pemimpin Yang Perihatin - Rumah Akan Di Bina Semula oleh KKLW.

19 Disember 2009.

Pulau Larapan

Kembara kami diteruskan pada 19 Disember 2009. Kami ke Pulau Larapan yang terletak 10 minit perjalanan dengan bot dari Jeti Semporna. Ketibaan kami di jeti bot Pulau Larapan disambut oleh seluruh penduduk P. Larapan, kecil besar, tua dan muda menanti kami dengan penuh harapan. Harapan agar YB Menteri menghadiahkan sesuatu kepada mereka yang rata-ratanya adalah penduduk miskin yang hidup bergantung kepada hasil laut.

Melangkah Menemui Rakyat Yang Mengharapkan Pembelaan

Penduduk P. Larapan Menanti Dengan Penuh Harapan.

Wajah-wajah Yang Penuh Makna.

Di Pulau Larapan kami membuat tinjauan ke atas projek pilot bekalan elektrik luar bandar, yang dilaksanakan oleh sebuah syarikat tempatan. Pilot projek ini adalah untuk membolehkan KKLW membuat penilaian sejauh mana sistem yang menggunakan angin dan solar yang dikombinasikan boleh membekalkan elektrik secara berkesan kepada penduduk pulau berkenaan.

Pilot Project Bekalan Elektrik Solar dan Angin.

Sinar Cahaya Yang Dinanti-nantikan.

Kami seterusnya membuat tinjauan ke persekitaran kampung Larapan Tengah sambil mendengar rungutan dan permohonan penduduk tempatan. Pelbagai permintaan telah di kemukakan oleh penduduk P. Larapan kepada YB Menteri.

Keperihatinan YB Menteri dan tampa mengendahkan protokol dan kerenah penduduk P. Larapan yang mengekori setiap langkah YB Menteri, YB Menteri telah membuat pengumuman akan membina jalan pejalan kaki bersimen bagi kemudahan murid-murid ke sekolah dari Kg. Larapan Tengah ke Kg. Larapan Hujung yang panjangnya lebih kurang 2 km.

Tapi apa yang menyentuh hati rombongan kami ialah apabila lawatan dibuat ke salah sebuah rumah penduduk yang saya rasa tiada siapa yang tidak akan menitiskan air mata bila melihat keadaan rumah mereka yang selayaknya sesuai dihuni oleh ........ , tapi alangkah pilunya, rumah sedemikian dihuni oleh 11 orang dari satu keluraga. Gambar-gambar di bawah memberi seribu makna dan kepiluan kepada kita yang menyaksikannya. Lihatlah wajah anak-anak mereka yang comot dan tidak terurus dan keadaan persekitaran dalaman rumah yang sukar dipercayai, bahawa ia tempat tinggal bagi 11 insan yang mengharapkan pembelaan kita. Rumah besar disebelah kanan dihuni oleh 5 insan sahaja sedangkan mereka seramai 11 orang tinggal di rumah yang ditempelkan disebelah rumah berkenaan. Teringat saya kepada filem P. Ramlee yang bertajuk "Antara Dua Darjat"

Bantulah Kami.

Inilah Syurga Kami

Si Anak Berkata "Bajupun Kami Tiada Apatah Lagi Rumah Yang Selesa".

"Masih Ada Rakyatku Yang Mederita"

Antara Dua Darjat.

Sanggupkan Anda Menghuni Rumah Sebegini?

Sesungguhnya kita harus bersyukur dengan apa yang kita ada dan nikmati kini, nun jauh di sana masih ada insan yang jauh lebih daif dan merana walaupun kita telah hampir 52 tahun merdeka. Justeru itu, marilah kita yang diberi tanggungjawab sama-sama mempergiatkan usaha dan menanam tekad untuk membantu sedaya mampu agar kemiskinan dapat dihapuskan dalam masa yang terdekat.

Kembara kami diteruskan ke persekitaran kampung. Balai raya, Perpustakaan Desa nampaknya tidak terurus dan terbiar. Kami tidak menyalahkan mereka, tapi mungkin kerana tiadanya pemantauan dan bimbingan yang berterusan kemudahan-kemudahan tersebut rosak, terbiar dan perlu diperbaiki.

Perpustakaan Desa Yang Terbiar.

Akan Diubahsuai Kepada Tadika KEMAS.

Terbiar Tampa Pembelaan.

Balai Raya Yang Terlalu Uzur.

Meninjau Keadaan Lantai Yang Telah Mereput.

Kembara kami di Pulau Larapan di akhiri dengan pengumuman oleh YB Menteri yang disambut dengan rasa gembira yang tidak terkira olehg seluruh penduduk Pulau Larapan. Jalan pejalan kaki akan dibina dalam masa tedekat, sebuah rumah PBR akan dibina serta merta bagi keluarga miskin di atas. Dewan Orang Ramai dan sebuah Medan Info Desa versi Kampung akan disediakan dalam masa terdekat. Itulah hadiah dari YB Menteri kepada penduduk Pulau Larapan dan pengumuman tersebut disambut dengan penuh harapan dan terima kasih yang tidak terhingga mereka kepada YB Menteri.

Ketua Kampung Meluahkan Harapan Penduduk Kepada YB Menteri.

Menanti Hadiah Dari Pemimpin.

Kabar Gembira Disampaikan Kepada Penduduk.

Kepulangan kami diiringi dengan penuh tatasusila penduduk yang berbaris di sepanjang jalan menuju ke jeti dan lambaian pengharapan mengiringi kami meningglkan Pulau Larapan dengan penuh keinsafan bahawa masih banyak lagi kemudahan yang perlu disediakan oleh Kerajaan kepada penduduk luar bandar dan masih ramai lagi yang memerlukan pembelaan dari kita.

Kami Akan Segerakan Apa Yang Telah Dijanjikan.

Barisan Penduduk Megiringi Kepulangan Pemimpin Yang Perihatin.

Pulau Larapan Yang Menggamit Seribu Harapan.

Kepada Pembaca yang menatap catatan ini, ingin saya nyatakan bahawa catatan ini bukanlah bertujuan semata-mata hendak memaparkan keperihatinan pemimpin kita yang perihatin kepada kesusahan rakyat luar bandar, tetapi jauh disudut hati adalah untuk kita berkongsi bersama terutama dengan pembaca yang tidak berpeluang untuk membuat tnjauan oleh kerana kesibukan tugas di pejabat atau urusan lain. Kemelaratan dan kesusahan penduduk luar bandar sewajarnya diberi pembelaan, apatah lagi yang tinggal di kepulauan yang masih lagi banyak tidak mempunyai kemudahan asas dan jauh sekali kediaman yang selesa.

Semoga dengan catatan ini kita akan sedar bahawa kesenangan kita nikmati hari ini adalah sesuatu anugerah yang seharusnya kita bersyukur kepada Illahi, tetapi kita harus sedar bahawa kesenangan yang dimiliki bukanlah sesuatu yang akan kekal selama-lamanya. Dan kesenangan yang kita miliki juga adalah sesuatau yang harus dikongsi bersama dengan mereka yang memerlukan. Masih ada dikalangan kita yang hidup mereka semenjak lahir hingga ke akhir hayat yang memerlukan pembelaan, pembelaan dari segi fizikal dan kerohanian. Renung-renungkanlah.

Kesempatan ini saya ingin mengucapkan "SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 2010" dengan azam sama-sama kita menanam tekad untuk membela bangsa yang masih ramai yang mengharapkan bantuan kita.

Wassalam.