Salam Sejahtera

"Ini adalah semata-mata catatan saya berdasarkan kepada apa yang saya lalui, sama ada ianya urusan rasmi berkaitan tugas mahupun catatan aktiviti peribadi serta apa yang dirasakan seharusnya dikongsi bersama"
"USE YOUR HEART WHEN YOU DEAL WITH OTHERS, AND USE YOUR BRAIN WHEN YOU DEAL WITH YOURSELF"

Friday, November 20, 2009

BERNAMA - Pasukan Khas Pantau Projek Pembangunan Luar Bandar - Shafie

BERNAMA - Pasukan Khas Pantau Projek Pembangunan Luar Bandar - Shafie

Thursday, November 5, 2009

ALHAMDULILLAH DAN TERIMA KASIH

Sesungguhnya saya amat terharu dalam beberapa hari yang lepas banyak SMS yang saya terima serta rakan-rakan yang saya ketemui menngucapkan tahniah kepada saya.

Sesungguhnya apa yang saya perolehi pada hari ini adalah satu anugerah yang berupa pengiktirafan yang seharusnya saya amat bersyukur dan muhasabah diri bahawa dengan kenaikan pangkat kepada tahap yang sememamngnya tidak pernah diimpikan sebelum ini membuatkan saya terasa bahawa tanggung jawab yang diamanahkan amat mencabar dan seharusnya ditatang dengan penuh tanggung jawab.

Dan kebetulan pada tarikh 26 Oktober 2009 iaitu tarikh saya dinaikkan pangkat ke Gred Utama Jusa C, tarikh tersebut juga merupakan tarikh hari lahir saya yang ke 51. Syukur Ahamdulillah, saya masih lagi bernafas pada tarikh tersebut dan masih lagi dapat mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan yang menyampaikan ucapan tahniah di atas kenaikan pangkat saya itu. Bagi mereka yang mengetahui tarikh itu juga adalah tarikh hari lahir saya, terpaksalah saya megucapkan dua kali terima kasih......kadang-kadang rasa seronok bila ramai yang menyampaikan ucapan tahniah, tapi kita harus muhasabah diri tentang tanggung jawab dan hari-hari yang akan dilalui seterusnya yang sudah tentu banyak onak dan durinya.

Bagi saya tanggung jawab dan amanah yang diberi merupakan cabaran dan ujian Allah kepada kita di dunia yang sementara ini. Pokoknya, kita seharusnya bersyukur dan banyak mengingati Allah SWT dalam apa sahaja pekerjaan kita. Berjaya kita adalah atas kehendakNya, begitu juga gagal kita adalah juga kehendakNya. Oleh itu, kita seharusnya menerima semua itu dengan penuh kesyukuran.

Sebelum mengakhiri catatan saya kali ini, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan TERIMA KASIH kepada semua rakan-rakan saya yang telah menyampaikan ucapan tahniah sebelum ini sama ada melalui SMS, panggilan telefon dan yang saya temui atas sokongan dan kerjasama saudara/saudari kepada saya dan sesungguhnya saya amat terharu di atas ucapan tersebut.

Kepada Boss saya YB Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato' Seri Mohd Shafie Hj. Apdal, Ketua Setiausaha KKLW, Datuk Abd Jabar Che Nai, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih kerana telah memberi kepercayaan kepada saya untuk menerajui Bahagian Pembangunan dan Pemantauan Projek KKLW. Sesungguhnya saya berjanji akan memastikan segala tugasan yang diberi akan dilaksanakan dengan penuh tanggung jawab. InsyaALLAH.

Motto saya dalam apa sahaja urusan ialah:

" Use Your Heart When You Deal With Others, Use Your Head When You Deal With Yourself"

TERIMA KASIH - TERIMA KASIH - TERIMA KASIH...................

Wassalam.

Wednesday, November 4, 2009

Kembara 1Malaysia KKLW Siri 2

Alhamdulillah, berjumpa kembali untuk bulan November ini. Tup-tup tinggal sebulan lebih sahaja lagi kita akan meninggalkan tahun 2009 buat selama-lamaya. Rasa-rasa baru semalam berada di tahun 2009, tidak lama lagi kita akan berkujung ke tahun 2010. Ini bermakna tinggal 10 tahun lagi Malaysia akan menuju ke arah negara maju. InsyaAllah.

Kembali kepada catatan saya kali ini, Kembara kami kali ini ialah ke Sibu, Sarawak bersama dengan YB Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pada 31 Oktober 2009 yang lalu.

Kami bertolak ke Sibu pada petang 30 Oktober 2009. Kembara di ketuai oleh YB Menteri Kemajuan Luar bandar, Haji Che Rahim (Ketua UKT), Mohammed Abdullah (KR), Haji Jazman (BI), Hasan Mat Amin (KEMAS) turut serta dalam kembara kali ini. Turut serta juga ialah YB Timbalan Menteri KKLW, YB Datuk Joseph Entulu Anak Belaun.

Keesokan harinya Kembara kami bermula dari bandar Sibu menuju ke sebuah penempatan rumah panjang yang dikenali dengan Rumah Banyan (Saong), Ulu Strass yang terletak lebih kurang sejam perjalanan dari bandar Sibu. Rombongan kami di sambut dengan tarian tradisional tempatan yang dipersembahkan oleh gadis-gadis sunti.

Ketibaan YB Menteri

Sebahagian Penari....Cun tak.

Di sini kami beramah mesra dengan lebih kurang 45 keluarga yang tinggal di rumah panjang yang dibuka semenjak tahun 1983 dan boleh dikatakan keadaan rumahnya yang agak moden, dua tingkat. Malangnya kemudahan bekalan elektrik dan air terawat masih lagi tidak sampai ke perumahan ini walaupun kedudukan rumah ini hanya terletak lebih kurang 5 kilometer dari sumber bekalan utama.

Jalan Masuk Menuju Rh. Banyan

Rumah Banyan

Generasi 2020

Lawatan kami yang singkat di sini membawa kabar gembira kepada penduduk tempatan apabila YB Menteri mengumumkan KKLW akan membawa bekalan air bersih ke perumahan mereka dan projek bekalan air bersih tersebut dimulakan seawalnya tahun hadapan. Gegak gempita dan betapa gembiranya mereka apabila mendapat perkhabaran tersebut. Itulah yang dikatakan 1Malaysia: Rakyat Diutamakan, Pencapaian Didahulukan.

Mana Paip Air Nak Lalu

Membuat Pengumuman Projek Bekalan Air Bersih...Alhamdulillah

Lawatan kami di Rh. Banyan diakhiri dengan jamuan makan tengahari yang menyelerakan.
Apa tidaknya, pelbagai juadah dan lauk pauk tradisional dihidangkan kepada kami.

Tu Dia-Banyaknya Lauk

Tambah Lagi Yang Berhormat

Takut ada, gementar ada, risau ada. Itulah gambaran diri saya bila selesai sahaja pertemuan kami di Rh. Banyan, kami bertolak pula ke Daerah Song yang terletak 3 1/2 jam perjalanan melalui sungai dari Ulu Strass. Tapi kami mengambil jalan singkat dengan menaikli helikopter. Itulah yang menyebabkan saya rasa sedemikian. Takut kerana cuaca ketika itu agak mendung, risau kerana jarang-jarang menaiki helikopter dan gementar kerana hanya saya seorang sahaja yang mengiringi VVIP menaiki helikopter ke Daerah Song. Lain-lain pegawai tidak dapat bersama oleh kerana kapasiti helikoter hanya membenarkan 5 orang sahaja yang boleh menaikinya.

Bersiap Untuk Bertolak Ke Song



Perjalanan kami ke Song mengambil masa selama 30 minit. Kami di sambut dengan agak meriah oleh penduduk Daerah Song ebaik sahaja kami mendarat di padang Rumah Rehat Song.

Di Song, kami diberi taklimat oleh Pegawai Daerah mengenai pembangunan Daerah Song dan mengadakan perjumpaan dengan penduduk tempatan di Dewan Orang Ramai. Boleh dikatakan seluruh penduduk Song keluar untuk bertemu dengan rombongan kami.

Pegawai Daerah Song Menyampaikan Taklimat Pembangunan

ADUN Song Menyampai Ucapan Aluan

Sekali lagi kabar gembira disampaikan oleh YB Menteri KKLW kepada penduduk tempatan yang telah lama menantikannya. Projek membina jalan luar bandar dari Song ke Kapit akan dijelmakan pada tahun hadapan serta jalan dari Kanowit ke Song juga akan dilaksanakan selaras dengan pengumuman Belanjawan 2010 yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri baru-baru ini yang memberi keutamaan kepada pembangunan luar bandar, khususnya di negeri Sabah dan Sarawak.

Peta Projek Jalan Luar Bandar Di Song

Seluruh Hadirin Berdiri Bila Mendapat Kabar Gembira Jalan Akan Di Bina.

Kembara kami kali ini di akhiri dengan pertemuan yang agak bermakna. Hampir penuh Dewan Orang Ramai di Song dengan wajah-wajah ceria mereka mengiringi kami berangkat pulang ke bandar Sibu.

Bertemu Rakyat

Begitulah catatan Kembara 1Malayasia kami kali ini. InsyaAllah kembara kami akan diteruskan lagi selaras dengan arahan terbaru YAB Perdana Menteri kepada semua Menteri-Menteri Kabinet supaya mengadakan lawatan ke projek-projek Kementerian pada setiap bulan.

Selamat Tinggal Song, Jumpa Lagi

Setakat ini dahulu catatan Kembara 1Malaysia KKLW kali ini. Saya akan terus melaporkan Kembara 1Malaysia KKLW untuk tatapan dan pengalaman bersama.

Wassalam.