Salam Sejahtera

"Ini adalah semata-mata catatan saya berdasarkan kepada apa yang saya lalui, sama ada ianya urusan rasmi berkaitan tugas mahupun catatan aktiviti peribadi serta apa yang dirasakan seharusnya dikongsi bersama"
"USE YOUR HEART WHEN YOU DEAL WITH OTHERS, AND USE YOUR BRAIN WHEN YOU DEAL WITH YOURSELF"

Friday, January 30, 2009

PERJALANAN HAJI SIRI II

Terlebih dahulu saya memohon maaf kepada pengunjung blog saya ini oleh kerana kisah Perjalanan Haji Saya Siri II nampaknya lama sangat nak bersambung. Ini bukanlah disengajakan. Oleh kerana kesibukan tugas yang amat menekan dan saya sering menjalankan tugas luar, sambungan Siri II agak lambat di postkan.

Walau bagaimanapun saya berharap peminat golopksiam tidak kecewa dan terus melayari blog saya yang tak seberapa ini.

Bagi Perjalanan Haji Ssiri II ini saya akan meneruskan kisah-kisah dan pengalaman kami mengerjakan haji Tahun 2008 dengan perjalanan kami menuju ke Makkah Tul Mukarramah setelah 9 hari kami di Madinah Tul Munawwarah.

Pada Tanggal 19 November 2008 jam 9 pagi kami bertolak ke Maakkah dengan menaiki Bas Muassasah. Sebanyak tiga bas digunakan bagi membawa seramai 120 Jemaah haji ke Makkah.

Perjalanan kami dari Madinah ke Makkah mengambil masa lebih kurang 8 jam dengan menempuh sebanyak 4 chekpoint di sepanjang perjalanan. Setelah hampir 6 jam kami berjalan kami singgah di Masjid Birl Ali untuk memasang niat mengerja Umrah serta Haji kami.










Masjid Birl Ali






Kami singgah lebih kurang satu jam di Masjid ini untuk mengerjakan sembahyang sunat serta memasang niat Umrah dan Haji kami.

Kami meneruskan perjalanan menuju Makkah dan sampai di Makkah lebih kurang jam 8 malam.

Sesampai sahaja di Makkah kami diagih-agihkan bilik penginapan dan seterusnya dihidangkan dengan makan malam.

Setelah berehat seketika dan selesai makan malam, kami dibawa secara berkumpulan ke Masjidil Haram untuk melakukan Tawaf dan Saei Umrah. Ini adalah kerana semua jemaah melakukan Haji Tamattut dan perlu melakukan umrah dahulu sebelum tiba waktu melakukan haji.









Terpegun, kali pertama melihat Kaabah.







Maka bermulalah ujian demi ujian ke atas kami sebaik sahaja tiba di Makkah. Tapi bagi kami segala ujian tersebut kami redha dan anggap sebagai dugaan bagi menguji kesabaran kami serta ada hikmahnya. Kami tempuhi segala ujian tersebut dengan penuh kesabaran dan sentiasa berdoa agar tiada ujian yang tidak dapat ditanggung.

Sebaik sahaja kami selesai melakukan umrah kali pertama, kami berjalan untuk pulang ke hotel penginapan kami yang letaknya hanya 300 meter dari Masjidil Haram. Malangnya, kami tersasar laluan pulang dan setelah hampir 30 minit berjalan kami masih lagi tidak ketemui hotel kami.......lalu kami mengambil keputusan untuk berehat dan berdoa seketika agar Tuhan memberi petunjuk.....tut-tup selesai sahaja memohon doa....tiba-tiba sebaik sahaja berjalan beberapa langkah kami terpandang hotel penginapan kami, Alhamdulillah doa kami dimakbulkan.













Hotel Nesma Mawaddah, Makkah







Begitulah pengalaman kami pada hari pertama berada di Makkah.
Walau bagaimanapun, kami rasa bersyukur dengan dugaan tersebut dan ini mengingatkan kami agar berhati-hati dan tidak merasa angkuh bila berada di tempat orang.
Hari-hari seterusnya semasa kami berada di Makkah sementara menanti tibanya hari wukuf, kami penuhi dengan mengerjakan solat fardhu di Masjidil Haram di samping mengerjakan solat sunat sebanyak yang mungkin. Sepertimana pesan ustaz kami, kerjakanlah solat sunat sebanyak mungkin di Masjidil haram disamping solat fardhu agar tuhan akan megampunkan segala dosa-dosa yang lepas.

Sekali-sekala kami mengunjungi kedai-kedai yang berderet disekitar hotel kami. Murah dan menawan segala barang-barang yang didagangkan. Kata orang "rabun mata" dan kalau boleh semuanya nak beli.






Membeli belah di sekitar hotel penginapan








Hari-hari seterusnya sebelum tiba waktu wukuf di Arafah kami menjalankan rutin harian dengan berulang alik ke Masjidil Haram bagi menunaikan solat fardhu dan sekali sekala mengerjakan Umrah.

Kenangan yang tak dapat kami lupakan ialah sewaktu menaiki taksi ke Tanaim, iaitu tempat di mana kami akan memasang niat untuk melakukan Umrah. Kami bertiga menaiki van pick-up dan duduk di bahagian belakang van berkenaan, untungnya tambang dari hotel ke Masjid Tanaim dan kembali semula ke Masjidil Haram hanya 4 Saudi Rial.










Manaikki Van Pick-up ke Tanaim













Sebahagian Jemaah Haji Di Masjid Tanaim








Disamping mengerjakan Umrah sementara menanti hari wukuf kami juga menjalankan aktiviti seperti mendengar ceramah agama, tahlil dan lawatan atau ziarah ke tempat-tempat bersejarah.

Antara tempat yang sempat dilawati ialah ladang unta, kilang membuat kelambu kaabah, makam sahabat-sahabat nabi serta isteri nabi, rumah kelahiran nabi serta beberapa tempat yang mempunyai kaitan dengan sejarah perjuangan Nabi Muhammad SAW dalam menegakkan agama Islam.

Berikut adalah gambar-gambar sekitar aktiviti kami semasa berada di Makkah sebelum tiba hari wukuf.










Selepas menunaikan umrah pertama

















Lawatan sekitar Jabal Rahmah












Ladang Unta

























Makam Siti Khadijah















Mendengar penerangan dari pemandu ziarah.
















Sebahagian Jemaah Kusyuk Mendengar Tazkirah



















Sebahagian Jemaah Menuju Masjidil Harram Untuk Menunaikan Solat Subuh.











Begitulah antara kegiatan kami di sepanjang perjalanan kami mengerjakan haji dan sementara menunggu hari wukuf.

Insya Allah siri ini akan bersambung pula dengan perjalanan haji kami menuju Arafah dan seterusnya perjalanan kami mengerjakan haji dan diikuti dengan hari-hari terakhir kami di Makkah Tul Mukarramah.

Selamat membaca. Wassalam

Saturday, December 27, 2008

PERJALANAN HAJI SIRI I

Syukur Alhmadulillah, kami bedua selamat kembali ke Tanah Air pada malam 25 Disember 2008 setelah menempuh penerbangan selama 8 jam 10 minit dari Jeddah.

Alhamdulillah semuanya selamat dan sempurna dilaksnakan. Samaada kami mendapat Haji Mabrur itu adalah urusan Allah SWT. Harapan kami semoga kami diberikan Haji Mabrur.

Kembali saya ke Blog GolokSiam ini adalah untuk melakarkan serba sedikit pengalaman Perjalanan Kami mengerjakan Ibadat Haji untuk dikongsi bersama.

Pada tanggal 10 November 2008 kami bertolak dari Malaysia ke Madinah bagi memulakan perjalanan Haji kami dengan melaporkan diri di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya.

Diberi Taklimat oleh Ketua Package Haji Zahafiz Travel and Tours

Sebahagian Jemaah Haji Menanti Untuk Bertolak Ke KLIA

Tepat jam 12.00 malam kami di bawa dengan 12 buah bas ke KLIA dan bertolak dengan penerbangan Saudi Air tepat jam 1.30 pagi (11 November 208) menuju Madinah.

Penerbanga kami mengambil masa selama 8 jam 10 minit dan kami tiba di lapangan terbang Madinah pada jam 10.30 pagi waktu Malaysia, bersamaan jam 5.30 pagi waktu Madinah.

Di Lapangan Terbang Madinah.

Sebaik sahaja tiba di Madinah kami di bawa ke hotel penginapan yang letaknya lebih kurang setengah jam perjalanan dari lapangan terbang. Elaf Taibah Hotel (5 Bintang) menjadi hotel penginapan kami untuk tempoh 8 hari di Madinah.

Elaf Taibah Hotel

Perjalanan Haji kami bermula dengan melakukan ziarah ke Masjid Nabawi dan beberapa tempat bersejarah di Madinah di samping kami pada setiap waktu fardhu solat tidak melepaskan peluang untuk berkunjung dan melalkukan sembahyang berjemaah di Masjid Nabawi.
Masjid Nabawi Madinah.

Masjid Quba'

Sebahagian Jemaah Afrika Di Perkarangan Masjid.

Masjid Nabawi Dari Hotel Penginapan.

Jemaah Haji Indonesia Sedang Diberi Ceramah.

Lawatan Ke Makam Syuhada (Bukit Uhud).

Bekas Air Zam Zam Dalam Masjid

Mengambil Air Zam Zam Diperkarangan Masjid Nabawi.

Indahnya Masjid Nabawi.

Pasar Kurma Madinah.

Sekadar Kenangan.

Perjalanan Haji kami akan bersmabung di Siri II.

Tuesday, November 4, 2008

SERUAN KAABAH





Alhamdulillah, Syukur kami kepada Allah SWT kerana dengan izinNya Kami dapat menunaikan Ibadah Fardhu Haji pada tahun ini dan InsyaAllah Kami akan berangkat ke Mekah pada pagi 11 November 2008 nanti melalui penerbangan KT33.

Sesungguhnya peluang yang Kami perolehi amat besar hikmahnya. Ini adala kerana setiap Umat Islam sememangnya bercita-cita untuk menunaikan Ibadah Haji jika termampu dan mempunyai peluang. Bagi Kami peluang yang diperolehi adalah satu Rahmat yang tidak terhingga.

Sebaik sahaja Kami mendapat makluman Terpilih untk menunaikan Ibadah Haji, bermulalah persiapan Kami bagi menghadapinya. Dari menghadiri kursus Haji Bersiri di Masjid Al-Nur USJ 4 Subang Jaya selama 13 minggu, hinggalah mengikuti Kursus Haji Perdana anjuran Lembaga Tabung Haji dan Syarikat Zahafiz Travel and Tours Sdn. Bhd.


Sesungguhnya kursus-kursus yang Kami ikuti membuka minda Kami bahawa betapa besarnya hikmah mengerjakan Haji dan betapa banyaknya tatacara yang perlu diketahui samada dari segi hukum serta peraturan-peraturan mengerjakan Haji.

Harapan Kami sebelum berangkat semoga Kami diberikan oleh Allah kesihatan yang baik dan fikiran yang tenang. Mudah-mudahan Kami akan dapat mengerjakan Haji dengan sempurna dan mendapat Haji yang Mabrur. InsyaAllah.

Di kesempatan ini Kami menyusunjari sepuloh memohon keampunan dan kemaafan jika ada kesilapan Kami kepada pembaca semua dan Kami uga dengan penuh keinsafan dan sedar memaafkan kesilapan rakan-rakan, saudara mara serta sahabat yang mengunjungi Blog Kami ini. Sesungguhnya yang burok itu dari Kami jua dan yang baik itu hanya dari Allah SWT.

Wassalam.

Monday, October 6, 2008

Catatan Hari Raya Aidilfitri 2008

Tarikh 30 September 2008, hari akhir bagi umat Islam berpuasa bagi tahun 2008 mencatatkan sejarah bagi kami sekeluarga apabila pada tarikh tersebut kami bertolak dari Subang Jaya untuk pulang ke Kota Bharu, Kelantan bagi menyambut Aidil Fitri 2008.

Pada hari tersebut bukan sahaja kami yang sibuk untuk pulang ke kampung bagi menyambut Aidilfitri pada keesokan harinya, malahan puluhan ribu umat Islam di Kuala Lumpur juga turut sama keluar meninggalkan Kuala Lumpur menuju ke kampung masing-masing, samada ke Utara, Selatan dan Pantai Timur.

Kami bertolak tepat jam 7.00 pagi dari Subang Jaya, perjalan agak lancar dan boleh dikatakan tidak banyak kenderaan yang menuju ke Pantai Timur pada waktu itu, ini mungkin kerana pada dua atau tiga hari sebelumnya telah ramai yang telah meninggalkan Kuala Lumpur. Kebiasaanya pada sehari sebelum raya jalan agak tenang. Ramai sudah yang tiba di kampung.

Kami hanya berhenti sekali sahaja disepanjang perjalanan yang memakan masa lebih kurang 7 jam ke Kota Bharu melalui jalan Gua Musang. itu pun kerana anak saya perlu ke tandas....

Tepat jam 1.30 tenga hari, kami tiba di Kota Bharu. Agak awal juga kami sampai dan lambat lagi untuk berbuka puasa. Sementara menunggu waktu berbuka...sempat saya melelapkan mata sekejap, penat agaknya.

Selepas menunaikan sembahyang Asar, sempat saya ke bandar Kota Bharu. Malangnya lagi 3 km. menuju ke pusat bandar, kenderaan telah mulai bergerak agak perlahan (terlalu banyak kenderaan yang pulang beraya bersesak-sesak ke pusat bandar) saya mengambil keputusan untuk berpatah balik ke rumah mertua di Kubang Kerian. Suasana sedemikian bukanlah luar biasa bagi bandar Kota Bharu bila musim hari raya. Pusat bandar akan sesak sesesaknya sehari sebelum hari raya. Mungkin ada yang membeli belah persiapan raya di saat akhir atau sekadar meronda-ronda melihat Bandaraya Islam. Hajat di hati nak berbuka dengan Air Tuak (air nira kelapa). Telefon kawan untuk menbelinya. Nasib baik dapat bekalan untuk berbuka petang tersebut. Sepanjang bulan puasa di Subang Jaya, tiada bekalan air tuak. Maklumlah, hanya orang Kelantan sahaja yang minum tuak pada bulan puasa....jangan salah anggap air tu tak mabuk....ianya semacam air nira yang terkenal di sebelah Utara.

Kring......kring.....kring.......telefon di rumah mertua saya berdering tepat jam 7.00 petang (lagi 5 minit waktu berbuka). Kami sekeluarga yang sedang duduk di hadapan meja makan menantikan waktu berbuka tersentak dan terkejut menerima berita dari abang ipar yang ditimpa kemalangan jalan raya di kawasan Pagar Sasak, Kuala Lipis, Pahang. Tetapi selepas itu, kami semua bersyukur apabila mendapat kabar bahawa salah seorang anaknya hanya mengalami cedera ringan sahaja dan di rawat sebagai pesakit luar di hospital Kuala Lipis. Sementara yang lain-lain tidak cedera, kecuali keretanya yang agak teruk dan tidak dapat dipandu lagi selepas itu.

Apabila menerima berita kemalangan abang ipar, kami sekeluarga bebincang dan mengadakan plan menyelamatkan abang ipar yang terkandas di Pagar Sasak. Selesai sahaja berbuka dan selepas menunai sembahyang Maghrib, kami bersama 2 buah kenderaan bertolak ke Pagar Sasak, Kuala Lipis untuk mengambil keluarga ibang ipar seramai 4 orang untuk di bawa pulang ke Kota Bharu. Kami bertolak jam 9.00 malam dari Kota Bharu dan tepat jam 12.30 malam kami tiba di Pagar Sasak (perjalanan sejauh 295 km. dari Kota Bharu ke Kuala Lipis). Setiba sahaja di kawasan kemalangan kerja-kerja untuk menarik kenderaan abang ipar sedang dijalankan oleh "tow truck". Kereta ditunda ke Balai polis Kuala Lipis yang jaraknya 40 km. dari tempat kejadian. Selepas selesai urusan di balai polis, tepat jam 2.30 pagi kami bertolak pulang ke Kota Bharu dan tiba pada jam 6.30 pagi di pagi hari raya.

Tanggal 1 Oktober 2008...seluruh umat Islam di Malaysia menyambut Aidil Fitri dengan penuh kesyukuran kerana berjaya menunaikan puasa selama sebulan sebelumnya. Begitu juga kami sekeluarga.

Bagi kami raya tahun ini banyak membawa kenangan. Dan di pagi raya yang mulia itu, kami sekeluarga sempat mengabadikan kenangan bersama keluarga dengan mengambil gambar-gambar keluarga secara kumpulan.


Saya, isteri dan anak bersama bapa dan ibu mertua.


Abang ipar dan keluarganya. Berdiri paling kiri, anak lelaki yang cedera akibat kemalangan di Pagar Sasak, Lipis.


Bapa dan Ibu Mertua Dengan Cucu-cucunya.


Bapa dan Ibu Mertua dengan Menantu-menantunya.

Kami sekeluarga beraya selama 3 hari di Kota Bharu, Kelantan. Dan oleh kerana kesesakan berlaku pula di sekitar Bandar Kota Bharu, kami hanya menziarahi saudara terdekat sahaja dalam masa 3 hari beraya di kampung. Boleh dikatakan seluruh pelusuk negeri Kelantan agak sesak dengan kenderaan. Tidak banyak aktiviti lain yang dapat dilakukan. Cuma di pagi hari sebelum kami bertolak balik ke Subang Jaya, sempat saya memasang "Hydrofuel" di kenderaan kami. Katanya, kenderaan akan bergerak dengan menggunakan kuasa gas hydrogen dan akan menjimat penggunaan petrol sebanyak 70%. Dan memang terbukti, kereta saya menggunakan hanya 1 liter petrol bagi setiap 14 km. jarak.


Contoh Sistem Hydrofuel Yang Dipasang Di Kereta Saya

Pada petang 4 Oktober tibalah masanya untuk kami berangkat pulang ke Subang Jaya. Kami bertolak pada jam 1.30 petang dari Kota Bharu. Cadang untuk melalui jalan Gua Musang. Tetapi sesampai sahaja kami di Pekan Peringat, kenderaan mulai perlahan dan boleh dikatakan tidak bergerak selepas itu. Kring....kring....kringgg....HP saya berbunyi. seorang kawan dari Gua Musang memaklumkan bahawa beliau tersangkut di Pekan Macang menuju ke Kota Bharu dan telah menasihatkan kami agar melalui jalan Kuala Terengganu, jika hendak ke Kuala Lumpur oleh kerana keadaan jalan dari Macang ke Kuala Krai dikatakan tidak bergerak pada waktu itu oleh kerana terlampau banyak kenderaan yang menuju Kuala Lumpur.

Tampa membuang masa saya terus mengambil jalan di simpang empat Peringat menuju bandar Pasir Putih dan seterusnya menghala ke Kuala Terengganu, melalui Jerteh/Besut.

Telahan rakan saya dan saya sendiri bahawa jalan ke Kuala Lumpur melalui Terengganu mungkin tidak seteruk melalui Gua Musang meleset. Apabila tiba sahaja di bandar Pasir Putih, kenderaan yang menuju ke Besut dari pekan Pasir putih agak sesak dan bertali arus. Minyak hampir kehabisan, nasib baik sebuah petrol kios (ESSO) di bandar Pasir Putih masih lagi ada bekalan dan sempat kami mengisi penuh tangki minyak. Kesesakan kenderaan bermula sebaik sahaja kami menghampiri pekan Jerteh (masalah lampu isyarat yang terlalu cepat bertukar). Nasi telah menjadi bubur... kami tiada pilihan dan perlu meneruskan perjalanan. Kami hanya mengikut arus dan seterusnya tersangkut pula di kawasan Permaisuri hampir 2 jam akibat kenderaan terpaksa memperlahan pergerakan oleh kerana terdapat kerja-kerja membaiki jalan di kawasan Setiu......


Orang Nak Beraya Depa Sibuk Repair Jalan.....


Deretan Kenderaan Di Antara Pekan Setiu Ke Bandar Permaisuri..

Setelah melepasi jalan yang agak perlahan kami singgah di Masjid Chalok....untuk berehat seketika.


Masjid Kg. Chalok


Anak Jantan Boring Berehat Di Wakaf Masjid Kg. Chalok.

Kami tidak lama berehat di Masjid Kg. Chalok. perjalanan ke Kuala Lumpur di teruskan dan agak lancar selepas tersangkut hampir 2 jam di Permaisuri dan Setiu.

Jalan potong diambil untuk ke jalan Jerangau-Jabor melalui Tasik Kenyir/Kuala Berang. Kami mulai memasuki jalan menuju ke Kuala Berang selepas pekan Setiau pada jam 5.00 petang. Kami tiba di Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) pada jam 8.15 malam dan berhenti sembahyang Maghrib di Masjid AMBS (KETENGAH).


Pemandangan Masjid AMBS di Waktu Malam

Selesai menunaikan sembahyang Maghrib dan Jamak Isyak, kami ke R&R AMBS. Tiada apa yang boleh dimakan kerana semua makanan kehabisan oleh kerana terlalu ramai orang yang singgah di situ. Kami sekadar minum dan meneruskan perjalanan yang masih lagi jauh.

Bermula dari AMBS kenderaan mulai perlahan lagi apabila semuanya memperlahan kan kenderaan masing akibat seketan jalan raya oleh pihak JPJ (dummy road block). Saya rasa semua orang yang melalui jalan Jerangau-Jabor pada malam itu akan menyumpah seranah kepada pihak JPJ kerana mengadakan sekatan tanpa pegawai yang bertugas. Akibat sekatan tersebut kesesakan sepanjang kira-kira 20 km. telah berlaku.

Perjalanan diteruskan menuju Lebuh Raya Pantai Timur (LPT). Dan paling laju kenderaan boleh memecut hanya 60 km. sejam sahaja. Kami mulai mamasuki LPT kira-kira pada jam 10.00 malam. Perjalan melalaui LPT pada mulanya agak selesa walaupun banyak kenderaan. Kami berhenti rehat lagi di R & R Kuantan, kira-kira jam 11.00 malam dan hanya hidangan nasi lemak sahaja yang masih dijual. Selepas setengah jam berehat kami meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur. Sangkaan kami akan tiba sebelum jam 1.00 pagi, malangnya jangkaan kami meleset, kerana sekali lagi kami terperangkap di kesekakan jalan raya akibat sebuah Bas Kilang rosak kira-kira 5 km dari Genting Sempah. Kesesakan sepanjang 15 km. dan kenderaan hanya boleh meluncur 5 km. sejam. Kaki dan lutut terasa lenguh dan rasa-rasa kalau ada skru telah lama tercabut......


Kenderaan Bederet di LPT


Lagi 5 km. Menuju Genting Sempah.

Melepasi sahaja kawasan bas kilang rosak, perjalanan agak lancar menuju Genting Sempah dan seterusnya ke Plaza Tol Gombak. Selepas membayar tol di Plaza Tol Gombak kami mengambil jalan melalui MRR2 ke Subang Jaya dan kami tiba di Subang Jaya tepat jam 2.30 pagi pada 5 Oktober 2008. Perjalanan kami dari Kota Bharu ke Subang Jaya untuk Raya Aidil Fitri 2008 megambil masa 13 jam, satu rekod baru yang dicipta untuk sekian kalinya.

Begitulah catatan saya mengenai pengalaman pulang beraya tahun ini. Ianya menjadi satu kenangan yang tak akan dilupakan. Raya tahun hadapan entah macam mana. Mungkin kami akan terbang pulang ke kampung.

Kepada rakan-rakan yang membaca catatan ini Selamat Menyambut Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin. Wassalam

Monday, September 1, 2008

HIKMAT BERPUASA

Alhamdulillah, kita berjumpa kembali di hari pertama bulan Ramadhan ini. Semoga puasa kita akan mendapat barakah dan diterima oleh Allah S.W.T.

Tidak banyak cerita yang hendak saya sampaikan kali ini. Kesibukan tugasan di pejabat menyebabkan masa untuk berblog agak terhad. Tetapi sempena dengan bulan Ramadhan kali ini saya perturunkan sedikit maklumat mengenai Hikmah Berpuasa untuk renungan bersama.

HIKMAH PUASA RAMADHAN

Oleh Ustaz Syed Hasan Alatas

"Wahai orang-orang yang beriman ! Diwajibkan kepada kamu puasa sebagaimana telah diwajibkan atas orang-orang yang sebelum kamu,supaya kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa." (S.al-Baqarah:183)

PUASA menurut syariat ialah menahan diri dari segala sesuatu yang membatalkan puasa (seperti makan, minum, hubungan kelamin, dan sebagainya) semenjak terbit fajar sampai terbenamnya matahari,dengan disertai niat ibadah kepada Allah,karena mengharapkan redho-Nya dan menyiapkan diri guna meningkatkan Taqwa kepada-Nya.

RAMAHDAH bulan yang banyak mengandung Hikmah didalamnya.Alangkah gembiranya hati mereka yang beriman dengan kedatangan bulan Ramadhan. Bukan sahaja telah diarahkan menunaikan Ibadah selama sebulan penuh dengan balasan pahala yang berlipat ganda,malah dibulan Ramadhan Allah telah menurunkan kitab suci al-Quranulkarim,yang menjadi petunjuk bagi seluruh manusia dan untuk membedakan yang benar dengan yang salah.

Puasa Ramadhan akan membersihkan rohani kita dengan menanamkan perasaan kesabaran, kasih sayang, pemurah, berkata benar, ikhlas, disiplin, terthindar dari sifat tamak dan rakus, percaya pada diri sendiri, dsb.

Meskipun makanan dan minuman itu halal, kita mengawal diri kita untuk tidak makan dan minum dari semenjak fajar hingga terbenamnya matahari,karena mematuhi perintah Allah.Walaupun isteri kita sendiri, kita tidak mencampurinya diketika masa berpuasa demi mematuhi perintah Allah s.w.t.

Ayat puasa itu dimulai dengan firman Allah:"Wahai orang-orang yang beriman" dan disudahi dengan:" Mudah-mudahan kamu menjadi orang yang bertaqwa."Jadi jelaslah bagi kita puasa Ramadhan berdasarkan keimanan dan ketaqwaan.Untuk menjadi orang yang beriman dan bertaqwa kepada Allah kita diberi kesempatan selama sebulan Ramadhan,melatih diri kita,menahan hawa nafsu kita dari makan dan minum,mencampuri isteri,menahan diri dari perkataan dan perbuatan yang sia-sia,seperti berkata bohong, membuat fitnah dan tipu daya, merasa dengki dan khianat, memecah belah persatuan ummat, dan berbagai perbuatan jahat lainnya.Rasullah s.a.w.bersabda:

"Bukanlah puasa itu hanya sekedar menghentikan makan dan minum tetapi puasa itu ialah menghentikan omong-omong kosong dan kata-kata kotor."
(H.R.Ibnu Khuzaimah)

Beruntunglah mereka yang dapat berpuasa selama bulan Ramadhan, karena puasa itu bukan sahaja dapat membersihkan Rohani manusia juga akan membersihkan Jasmani manusia itu sendiri, puasa sebagai alat penyembuh yang baik. Semua alat pada tubuh kita senantiasa digunakan, boleh dikatakan alat-alat itu tidak berehat selama 24 jam. Alhamdulillah dengan berpuasa kita dapat merehatkan alat pencernaan kita lebih kurang selama 12 jam setiap harinya. Oleh karena itu dengan berpuasa, organ dalam tubuh kita dapat bekerja dengan lebih teratur dan berkesan.

Perlu diingat ibadah puasa Ramadhan akan membawa faaedah bagi kesehatan
rohani dan jasmani kita bila ditunaikan mengikut panduan yang telah ditetapkan, jika tidak maka hasilnya tidaklah seberapa malah mungkin ibadah puasa kita sia-sia sahaja.

Allah berfirman yang maksudnya:

"Makan dan minumlah kamu dan janganlah berlebih-lebihan sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan." (s.al-A'raf:31)

Nabi s.a.w.juga bersabda:

"Kita ini adalah kaum yang makan bila lapar, dan makan tidak kenyang."

Tubuh kita memerlukan makanan yang bergizi mengikut keperluan tubuh kita. Jika kita makan berlebih-lebihan sudah tentu ia akan membawa muzarat kepada kesehatan kita. Boleh menyebabkan badan menjadi gemuk, dengan mengakibatkan kepada sakit jantung, darah tinggi, penyakit kencing manis, dan berbagai penyakit lainnya. Oleh itu makanlah secara sederhana, terutama sekali ketika berbuka, mudah-mudahan Puasa dibulan Ramadhan akan membawa kesehatan bagi rohani dan jasmani kita. Insy Allah kita akan bertemu kembali.

Allah berfirman yang maksudnya: "Pada bulan Ramadhan diturunkan al-Quran
pimpinan untuk manusia dan penjelasan keterangan dari pimpinan kebenaran
itu, dan yang memisahkan antara kebenaran dan kebathilan. Barangsiapa menyaksikan (bulan) Ramadhan, hendaklah ia mengerjakan puasa.

(s.al-Baqarah:185)

Harapan saya dengan sedikit petikan di atas puasa kita akan menjadi lebih barakah dan mendapat keredaaNya. Wassalam dan Selamat Berpuasa.