Salam Sejahtera

"Ini adalah semata-mata catatan saya berdasarkan kepada apa yang saya lalui, sama ada ianya urusan rasmi berkaitan tugas mahupun catatan aktiviti peribadi serta apa yang dirasakan seharusnya dikongsi bersama"
"USE YOUR HEART WHEN YOU DEAL WITH OTHERS, AND USE YOUR BRAIN WHEN YOU DEAL WITH YOURSELF"

Monday, October 6, 2008

Catatan Hari Raya Aidilfitri 2008

Tarikh 30 September 2008, hari akhir bagi umat Islam berpuasa bagi tahun 2008 mencatatkan sejarah bagi kami sekeluarga apabila pada tarikh tersebut kami bertolak dari Subang Jaya untuk pulang ke Kota Bharu, Kelantan bagi menyambut Aidil Fitri 2008.

Pada hari tersebut bukan sahaja kami yang sibuk untuk pulang ke kampung bagi menyambut Aidilfitri pada keesokan harinya, malahan puluhan ribu umat Islam di Kuala Lumpur juga turut sama keluar meninggalkan Kuala Lumpur menuju ke kampung masing-masing, samada ke Utara, Selatan dan Pantai Timur.

Kami bertolak tepat jam 7.00 pagi dari Subang Jaya, perjalan agak lancar dan boleh dikatakan tidak banyak kenderaan yang menuju ke Pantai Timur pada waktu itu, ini mungkin kerana pada dua atau tiga hari sebelumnya telah ramai yang telah meninggalkan Kuala Lumpur. Kebiasaanya pada sehari sebelum raya jalan agak tenang. Ramai sudah yang tiba di kampung.

Kami hanya berhenti sekali sahaja disepanjang perjalanan yang memakan masa lebih kurang 7 jam ke Kota Bharu melalui jalan Gua Musang. itu pun kerana anak saya perlu ke tandas....

Tepat jam 1.30 tenga hari, kami tiba di Kota Bharu. Agak awal juga kami sampai dan lambat lagi untuk berbuka puasa. Sementara menunggu waktu berbuka...sempat saya melelapkan mata sekejap, penat agaknya.

Selepas menunaikan sembahyang Asar, sempat saya ke bandar Kota Bharu. Malangnya lagi 3 km. menuju ke pusat bandar, kenderaan telah mulai bergerak agak perlahan (terlalu banyak kenderaan yang pulang beraya bersesak-sesak ke pusat bandar) saya mengambil keputusan untuk berpatah balik ke rumah mertua di Kubang Kerian. Suasana sedemikian bukanlah luar biasa bagi bandar Kota Bharu bila musim hari raya. Pusat bandar akan sesak sesesaknya sehari sebelum hari raya. Mungkin ada yang membeli belah persiapan raya di saat akhir atau sekadar meronda-ronda melihat Bandaraya Islam. Hajat di hati nak berbuka dengan Air Tuak (air nira kelapa). Telefon kawan untuk menbelinya. Nasib baik dapat bekalan untuk berbuka petang tersebut. Sepanjang bulan puasa di Subang Jaya, tiada bekalan air tuak. Maklumlah, hanya orang Kelantan sahaja yang minum tuak pada bulan puasa....jangan salah anggap air tu tak mabuk....ianya semacam air nira yang terkenal di sebelah Utara.

Kring......kring.....kring.......telefon di rumah mertua saya berdering tepat jam 7.00 petang (lagi 5 minit waktu berbuka). Kami sekeluarga yang sedang duduk di hadapan meja makan menantikan waktu berbuka tersentak dan terkejut menerima berita dari abang ipar yang ditimpa kemalangan jalan raya di kawasan Pagar Sasak, Kuala Lipis, Pahang. Tetapi selepas itu, kami semua bersyukur apabila mendapat kabar bahawa salah seorang anaknya hanya mengalami cedera ringan sahaja dan di rawat sebagai pesakit luar di hospital Kuala Lipis. Sementara yang lain-lain tidak cedera, kecuali keretanya yang agak teruk dan tidak dapat dipandu lagi selepas itu.

Apabila menerima berita kemalangan abang ipar, kami sekeluarga bebincang dan mengadakan plan menyelamatkan abang ipar yang terkandas di Pagar Sasak. Selesai sahaja berbuka dan selepas menunai sembahyang Maghrib, kami bersama 2 buah kenderaan bertolak ke Pagar Sasak, Kuala Lipis untuk mengambil keluarga ibang ipar seramai 4 orang untuk di bawa pulang ke Kota Bharu. Kami bertolak jam 9.00 malam dari Kota Bharu dan tepat jam 12.30 malam kami tiba di Pagar Sasak (perjalanan sejauh 295 km. dari Kota Bharu ke Kuala Lipis). Setiba sahaja di kawasan kemalangan kerja-kerja untuk menarik kenderaan abang ipar sedang dijalankan oleh "tow truck". Kereta ditunda ke Balai polis Kuala Lipis yang jaraknya 40 km. dari tempat kejadian. Selepas selesai urusan di balai polis, tepat jam 2.30 pagi kami bertolak pulang ke Kota Bharu dan tiba pada jam 6.30 pagi di pagi hari raya.

Tanggal 1 Oktober 2008...seluruh umat Islam di Malaysia menyambut Aidil Fitri dengan penuh kesyukuran kerana berjaya menunaikan puasa selama sebulan sebelumnya. Begitu juga kami sekeluarga.

Bagi kami raya tahun ini banyak membawa kenangan. Dan di pagi raya yang mulia itu, kami sekeluarga sempat mengabadikan kenangan bersama keluarga dengan mengambil gambar-gambar keluarga secara kumpulan.


Saya, isteri dan anak bersama bapa dan ibu mertua.


Abang ipar dan keluarganya. Berdiri paling kiri, anak lelaki yang cedera akibat kemalangan di Pagar Sasak, Lipis.


Bapa dan Ibu Mertua Dengan Cucu-cucunya.


Bapa dan Ibu Mertua dengan Menantu-menantunya.

Kami sekeluarga beraya selama 3 hari di Kota Bharu, Kelantan. Dan oleh kerana kesesakan berlaku pula di sekitar Bandar Kota Bharu, kami hanya menziarahi saudara terdekat sahaja dalam masa 3 hari beraya di kampung. Boleh dikatakan seluruh pelusuk negeri Kelantan agak sesak dengan kenderaan. Tidak banyak aktiviti lain yang dapat dilakukan. Cuma di pagi hari sebelum kami bertolak balik ke Subang Jaya, sempat saya memasang "Hydrofuel" di kenderaan kami. Katanya, kenderaan akan bergerak dengan menggunakan kuasa gas hydrogen dan akan menjimat penggunaan petrol sebanyak 70%. Dan memang terbukti, kereta saya menggunakan hanya 1 liter petrol bagi setiap 14 km. jarak.


Contoh Sistem Hydrofuel Yang Dipasang Di Kereta Saya

Pada petang 4 Oktober tibalah masanya untuk kami berangkat pulang ke Subang Jaya. Kami bertolak pada jam 1.30 petang dari Kota Bharu. Cadang untuk melalui jalan Gua Musang. Tetapi sesampai sahaja kami di Pekan Peringat, kenderaan mulai perlahan dan boleh dikatakan tidak bergerak selepas itu. Kring....kring....kringgg....HP saya berbunyi. seorang kawan dari Gua Musang memaklumkan bahawa beliau tersangkut di Pekan Macang menuju ke Kota Bharu dan telah menasihatkan kami agar melalui jalan Kuala Terengganu, jika hendak ke Kuala Lumpur oleh kerana keadaan jalan dari Macang ke Kuala Krai dikatakan tidak bergerak pada waktu itu oleh kerana terlampau banyak kenderaan yang menuju Kuala Lumpur.

Tampa membuang masa saya terus mengambil jalan di simpang empat Peringat menuju bandar Pasir Putih dan seterusnya menghala ke Kuala Terengganu, melalui Jerteh/Besut.

Telahan rakan saya dan saya sendiri bahawa jalan ke Kuala Lumpur melalui Terengganu mungkin tidak seteruk melalui Gua Musang meleset. Apabila tiba sahaja di bandar Pasir Putih, kenderaan yang menuju ke Besut dari pekan Pasir putih agak sesak dan bertali arus. Minyak hampir kehabisan, nasib baik sebuah petrol kios (ESSO) di bandar Pasir Putih masih lagi ada bekalan dan sempat kami mengisi penuh tangki minyak. Kesesakan kenderaan bermula sebaik sahaja kami menghampiri pekan Jerteh (masalah lampu isyarat yang terlalu cepat bertukar). Nasi telah menjadi bubur... kami tiada pilihan dan perlu meneruskan perjalanan. Kami hanya mengikut arus dan seterusnya tersangkut pula di kawasan Permaisuri hampir 2 jam akibat kenderaan terpaksa memperlahan pergerakan oleh kerana terdapat kerja-kerja membaiki jalan di kawasan Setiu......


Orang Nak Beraya Depa Sibuk Repair Jalan.....


Deretan Kenderaan Di Antara Pekan Setiu Ke Bandar Permaisuri..

Setelah melepasi jalan yang agak perlahan kami singgah di Masjid Chalok....untuk berehat seketika.


Masjid Kg. Chalok


Anak Jantan Boring Berehat Di Wakaf Masjid Kg. Chalok.

Kami tidak lama berehat di Masjid Kg. Chalok. perjalanan ke Kuala Lumpur di teruskan dan agak lancar selepas tersangkut hampir 2 jam di Permaisuri dan Setiu.

Jalan potong diambil untuk ke jalan Jerangau-Jabor melalui Tasik Kenyir/Kuala Berang. Kami mulai memasuki jalan menuju ke Kuala Berang selepas pekan Setiau pada jam 5.00 petang. Kami tiba di Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) pada jam 8.15 malam dan berhenti sembahyang Maghrib di Masjid AMBS (KETENGAH).


Pemandangan Masjid AMBS di Waktu Malam

Selesai menunaikan sembahyang Maghrib dan Jamak Isyak, kami ke R&R AMBS. Tiada apa yang boleh dimakan kerana semua makanan kehabisan oleh kerana terlalu ramai orang yang singgah di situ. Kami sekadar minum dan meneruskan perjalanan yang masih lagi jauh.

Bermula dari AMBS kenderaan mulai perlahan lagi apabila semuanya memperlahan kan kenderaan masing akibat seketan jalan raya oleh pihak JPJ (dummy road block). Saya rasa semua orang yang melalui jalan Jerangau-Jabor pada malam itu akan menyumpah seranah kepada pihak JPJ kerana mengadakan sekatan tanpa pegawai yang bertugas. Akibat sekatan tersebut kesesakan sepanjang kira-kira 20 km. telah berlaku.

Perjalanan diteruskan menuju Lebuh Raya Pantai Timur (LPT). Dan paling laju kenderaan boleh memecut hanya 60 km. sejam sahaja. Kami mulai mamasuki LPT kira-kira pada jam 10.00 malam. Perjalan melalaui LPT pada mulanya agak selesa walaupun banyak kenderaan. Kami berhenti rehat lagi di R & R Kuantan, kira-kira jam 11.00 malam dan hanya hidangan nasi lemak sahaja yang masih dijual. Selepas setengah jam berehat kami meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur. Sangkaan kami akan tiba sebelum jam 1.00 pagi, malangnya jangkaan kami meleset, kerana sekali lagi kami terperangkap di kesekakan jalan raya akibat sebuah Bas Kilang rosak kira-kira 5 km dari Genting Sempah. Kesesakan sepanjang 15 km. dan kenderaan hanya boleh meluncur 5 km. sejam. Kaki dan lutut terasa lenguh dan rasa-rasa kalau ada skru telah lama tercabut......


Kenderaan Bederet di LPT


Lagi 5 km. Menuju Genting Sempah.

Melepasi sahaja kawasan bas kilang rosak, perjalanan agak lancar menuju Genting Sempah dan seterusnya ke Plaza Tol Gombak. Selepas membayar tol di Plaza Tol Gombak kami mengambil jalan melalui MRR2 ke Subang Jaya dan kami tiba di Subang Jaya tepat jam 2.30 pagi pada 5 Oktober 2008. Perjalanan kami dari Kota Bharu ke Subang Jaya untuk Raya Aidil Fitri 2008 megambil masa 13 jam, satu rekod baru yang dicipta untuk sekian kalinya.

Begitulah catatan saya mengenai pengalaman pulang beraya tahun ini. Ianya menjadi satu kenangan yang tak akan dilupakan. Raya tahun hadapan entah macam mana. Mungkin kami akan terbang pulang ke kampung.

Kepada rakan-rakan yang membaca catatan ini Selamat Menyambut Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin. Wassalam