Kembali kepada catatan saya kali ini, Kembara kami kali ini ialah ke Sibu, Sarawak bersama dengan YB Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pada 31 Oktober 2009 yang lalu.
Kami bertolak ke Sibu pada petang 30 Oktober 2009. Kembara di ketuai oleh YB Menteri Kemajuan Luar bandar, Haji Che Rahim (Ketua UKT), Mohammed Abdullah (KR), Haji Jazman (BI), Hasan Mat Amin (KEMAS) turut serta dalam kembara kali ini. Turut serta juga ialah YB Timbalan Menteri KKLW, YB Datuk Joseph Entulu Anak Belaun.
Keesokan harinya Kembara kami bermula dari bandar Sibu menuju ke sebuah penempatan rumah panjang yang dikenali dengan Rumah Banyan (Saong), Ulu Strass yang terletak lebih kurang sejam perjalanan dari bandar Sibu. Rombongan kami di sambut dengan tarian tradisional tempatan yang dipersembahkan oleh gadis-gadis sunti.
Di sini kami beramah mesra dengan lebih kurang 45 keluarga yang tinggal di rumah panjang yang dibuka semenjak tahun 1983 dan boleh dikatakan keadaan rumahnya yang agak moden, dua tingkat. Malangnya kemudahan bekalan elektrik dan air terawat masih lagi tidak sampai ke perumahan ini walaupun kedudukan rumah ini hanya terletak lebih kurang 5 kilometer dari sumber bekalan utama.
Lawatan kami yang singkat di sini membawa kabar gembira kepada penduduk tempatan apabila YB Menteri mengumumkan KKLW akan membawa bekalan air bersih ke perumahan mereka dan projek bekalan air bersih tersebut dimulakan seawalnya tahun hadapan. Gegak gempita dan betapa gembiranya mereka apabila mendapat perkhabaran tersebut. Itulah yang dikatakan 1Malaysia: Rakyat Diutamakan, Pencapaian Didahulukan.
Lawatan kami di Rh. Banyan diakhiri dengan jamuan makan tengahari yang menyelerakan.
Apa tidaknya, pelbagai juadah dan lauk pauk tradisional dihidangkan kepada kami.
Takut ada, gementar ada, risau ada. Itulah gambaran diri saya bila selesai sahaja pertemuan kami di Rh. Banyan, kami bertolak pula ke Daerah Song yang terletak 3 1/2 jam perjalanan melalui sungai dari Ulu Strass. Tapi kami mengambil jalan singkat dengan menaikli helikopter. Itulah yang menyebabkan saya rasa sedemikian. Takut kerana cuaca ketika itu agak mendung, risau kerana jarang-jarang menaiki helikopter dan gementar kerana hanya saya seorang sahaja yang mengiringi VVIP menaiki helikopter ke Daerah Song. Lain-lain pegawai tidak dapat bersama oleh kerana kapasiti helikoter hanya membenarkan 5 orang sahaja yang boleh menaikinya.
Perjalanan kami ke Song mengambil masa selama 30 minit. Kami di sambut dengan agak meriah oleh penduduk Daerah Song ebaik sahaja kami mendarat di padang Rumah Rehat Song.
Di Song, kami diberi taklimat oleh Pegawai Daerah mengenai pembangunan Daerah Song dan mengadakan perjumpaan dengan penduduk tempatan di Dewan Orang Ramai. Boleh dikatakan seluruh penduduk Song keluar untuk bertemu dengan rombongan kami.
Sekali lagi kabar gembira disampaikan oleh YB Menteri KKLW kepada penduduk tempatan yang telah lama menantikannya. Projek membina jalan luar bandar dari Song ke Kapit akan dijelmakan pada tahun hadapan serta jalan dari Kanowit ke Song juga akan dilaksanakan selaras dengan pengumuman Belanjawan 2010 yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri baru-baru ini yang memberi keutamaan kepada pembangunan luar bandar, khususnya di negeri Sabah dan Sarawak.
Kembara kami kali ini di akhiri dengan pertemuan yang agak bermakna. Hampir penuh Dewan Orang Ramai di Song dengan wajah-wajah ceria mereka mengiringi kami berangkat pulang ke bandar Sibu.
Begitulah catatan Kembara 1Malayasia kami kali ini. InsyaAllah kembara kami akan diteruskan lagi selaras dengan arahan terbaru YAB Perdana Menteri kepada semua Menteri-Menteri Kabinet supaya mengadakan lawatan ke projek-projek Kementerian pada setiap bulan.
Setakat ini dahulu catatan Kembara 1Malaysia KKLW kali ini. Saya akan terus melaporkan Kembara 1Malaysia KKLW untuk tatapan dan pengalaman bersama.
Wassalam.
No comments:
Post a Comment