17 Disember 2009.
Sebenarnya pada hari seluruh rakyat Malaysia berehat di hari cuti umum menyambut Awal Muharram, saya berada jauh di negeri Bawah Bayu, Sabah. Demi keperihatinan YB Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah terhadap penduduk yang sedang menderita akibat tempat tinggal mereka ditimpa bencana kebakaran. Sehari sebelum sambutan Awal Muharram, kami berlepas ke Semporna, Sabah iaitu pada pagi 17 Disember 2009 dan sebaik sahaja sampai di Semporna, lebih kurang jam 12 tengahri kami terus ke Kampung Air, Semporna untuk meninjau kesan-kesan kebakaran yang berlaku pada petang 15 Disember 2009. Lebih kurang 60 buah rumah musnah yang melibatkan 120 keluarga.
Punca kebakaran adalah dari letupan tabung gas memasak yang berlaku di salah sebuah rumah di perkampungan tersebut.
Kami membuat tinjauan kesan-kesan kebakaran dan semasa lawatan dibuat, kami dimaklumkan pihak berkuasa msih lagi mengesan salah satu mayat yang masih belum ditemui. 4 terkorban dalam kebakaran tersebut, dari satu keluarga.
18 Disember 2009.
Keesokan harinya dan hari seluruh ummat Islam menyambut Awal Muharam, satu majlis penyampaian bantuan kepada mangsa-magsa kebakaran telah diadakan di Dewan Masyarakat Tawau, YB Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah telah menyampaikan sumbangan peribadinya kepada semua mangsa kebakaran, sementara KKLW pula menyumbangkan bahan-bahan makanan seperti minyak masak beras dan lain-lain kepada semua mangsa yang terbabit.
Berita gembira disampaikan oleh YB Menteri kepada mangsa kebakaran di mana KKLW akan membina semula rumah-rumah yang terlibat di bawah Program Bantuan Rumah (PBR) dalam masa terdekat.
19 Disember 2009.
Kembara kami diteruskan pada 19 Disember 2009. Kami ke Pulau Larapan yang terletak 10 minit perjalanan dengan bot dari Jeti Semporna. Ketibaan kami di jeti bot Pulau Larapan disambut oleh seluruh penduduk P. Larapan, kecil besar, tua dan muda menanti kami dengan penuh harapan. Harapan agar YB Menteri menghadiahkan sesuatu kepada mereka yang rata-ratanya adalah penduduk miskin yang hidup bergantung kepada hasil laut.
Di Pulau Larapan kami membuat tinjauan ke atas projek pilot bekalan elektrik luar bandar, yang dilaksanakan oleh sebuah syarikat tempatan. Pilot projek ini adalah untuk membolehkan KKLW membuat penilaian sejauh mana sistem yang menggunakan angin dan solar yang dikombinasikan boleh membekalkan elektrik secara berkesan kepada penduduk pulau berkenaan.
Kami seterusnya membuat tinjauan ke persekitaran kampung Larapan Tengah sambil mendengar rungutan dan permohonan penduduk tempatan. Pelbagai permintaan telah di kemukakan oleh penduduk P. Larapan kepada YB Menteri.
Keperihatinan YB Menteri dan tampa mengendahkan protokol dan kerenah penduduk P. Larapan yang mengekori setiap langkah YB Menteri, YB Menteri telah membuat pengumuman akan membina jalan pejalan kaki bersimen bagi kemudahan murid-murid ke sekolah dari Kg. Larapan Tengah ke Kg. Larapan Hujung yang panjangnya lebih kurang 2 km.
Tapi apa yang menyentuh hati rombongan kami ialah apabila lawatan dibuat ke salah sebuah rumah penduduk yang saya rasa tiada siapa yang tidak akan menitiskan air mata bila melihat keadaan rumah mereka yang selayaknya sesuai dihuni oleh ........ , tapi alangkah pilunya, rumah sedemikian dihuni oleh 11 orang dari satu keluraga. Gambar-gambar di bawah memberi seribu makna dan kepiluan kepada kita yang menyaksikannya. Lihatlah wajah anak-anak mereka yang comot dan tidak terurus dan keadaan persekitaran dalaman rumah yang sukar dipercayai, bahawa ia tempat tinggal bagi 11 insan yang mengharapkan pembelaan kita. Rumah besar disebelah kanan dihuni oleh 5 insan sahaja sedangkan mereka seramai 11 orang tinggal di rumah yang ditempelkan disebelah rumah berkenaan. Teringat saya kepada filem P. Ramlee yang bertajuk "Antara Dua Darjat"
Sesungguhnya kita harus bersyukur dengan apa yang kita ada dan nikmati kini, nun jauh di sana masih ada insan yang jauh lebih daif dan merana walaupun kita telah hampir 52 tahun merdeka. Justeru itu, marilah kita yang diberi tanggungjawab sama-sama mempergiatkan usaha dan menanam tekad untuk membantu sedaya mampu agar kemiskinan dapat dihapuskan dalam masa yang terdekat.
Kembara kami diteruskan ke persekitaran kampung. Balai raya, Perpustakaan Desa nampaknya tidak terurus dan terbiar. Kami tidak menyalahkan mereka, tapi mungkin kerana tiadanya pemantauan dan bimbingan yang berterusan kemudahan-kemudahan tersebut rosak, terbiar dan perlu diperbaiki.
Kembara kami di Pulau Larapan di akhiri dengan pengumuman oleh YB Menteri yang disambut dengan rasa gembira yang tidak terkira olehg seluruh penduduk Pulau Larapan. Jalan pejalan kaki akan dibina dalam masa tedekat, sebuah rumah PBR akan dibina serta merta bagi keluarga miskin di atas. Dewan Orang Ramai dan sebuah Medan Info Desa versi Kampung akan disediakan dalam masa terdekat. Itulah hadiah dari YB Menteri kepada penduduk Pulau Larapan dan pengumuman tersebut disambut dengan penuh harapan dan terima kasih yang tidak terhingga mereka kepada YB Menteri.
Kepulangan kami diiringi dengan penuh tatasusila penduduk yang berbaris di sepanjang jalan menuju ke jeti dan lambaian pengharapan mengiringi kami meningglkan Pulau Larapan dengan penuh keinsafan bahawa masih banyak lagi kemudahan yang perlu disediakan oleh Kerajaan kepada penduduk luar bandar dan masih ramai lagi yang memerlukan pembelaan dari kita.
Kepada Pembaca yang menatap catatan ini, ingin saya nyatakan bahawa catatan ini bukanlah bertujuan semata-mata hendak memaparkan keperihatinan pemimpin kita yang perihatin kepada kesusahan rakyat luar bandar, tetapi jauh disudut hati adalah untuk kita berkongsi bersama terutama dengan pembaca yang tidak berpeluang untuk membuat tnjauan oleh kerana kesibukan tugas di pejabat atau urusan lain. Kemelaratan dan kesusahan penduduk luar bandar sewajarnya diberi pembelaan, apatah lagi yang tinggal di kepulauan yang masih lagi banyak tidak mempunyai kemudahan asas dan jauh sekali kediaman yang selesa.
Semoga dengan catatan ini kita akan sedar bahawa kesenangan kita nikmati hari ini adalah sesuatu anugerah yang seharusnya kita bersyukur kepada Illahi, tetapi kita harus sedar bahawa kesenangan yang dimiliki bukanlah sesuatu yang akan kekal selama-lamanya. Dan kesenangan yang kita miliki juga adalah sesuatau yang harus dikongsi bersama dengan mereka yang memerlukan. Masih ada dikalangan kita yang hidup mereka semenjak lahir hingga ke akhir hayat yang memerlukan pembelaan, pembelaan dari segi fizikal dan kerohanian. Renung-renungkanlah.
Kesempatan ini saya ingin mengucapkan "SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 2010" dengan azam sama-sama kita menanam tekad untuk membela bangsa yang masih ramai yang mengharapkan bantuan kita.
Wassalam.