Selamat berjumpa kembali.
Oleh kerana tugasan rasmi yang agak banyak dan memerlukan komitmen yang tinggi hampir dua bulan rasanya saya tidak merasai hujung minggu.
Semenjak memulakan tugas, selepas kembali dari menunaikan Fardhu Haji, tak silap saya, baru satu hujung minggu yang saya dapat berada bersama isteri dan anak dihujung minggu.
Ini adalah kerana di sepanjang dua bulan pertama tahun 2009, perbagai peristiwa yang tak disangka (tok seko) terjadi. Dari Pilihanraya Kecil Wakaf Mempelam, Program-program KKLW dan isu banjir di Tumpat, Kelantan yang mana memerlukan komitmen dan penyelarasan dari masa ke semasa.
Kata orang selagi nyawa di badan selagi itulah kerja kita tak akan habis.
Mengikuti lawatan YB Menteri ke lokasi projek-projk utama KKLW sudah menjadi kemestian kepada Ketua Pemantau. Apatah lagi bila timbul isu yang melibatkan penduduk luar bandar harus di tangani segera dan pemantaulah yang akan mendahului segala-segalanya.
Dalam Minggu ke dua dan ketiga bulan Februari saya berada di empat lokasi dalam masa satu minggu. Bermula di Sabah selama dua hari, terus ke Seri Aman, Sarawak selama dua hari dan bersambung ke Kelantan untuk menyelesaikan masalah banjir di Tumpat, selama dua hari lagi.
Bukan setakat itu sahaja, saya juga menguruskan penjelmaan Logo KKLW bersama-sama rakan sejawat dari PSM, KKLW dan memastikan Billboard Kempen Mari Belajar (2 jam, 3 jam) dapat dinaikkan sebelum Tahun Baru Cina tempoh hari.
Alhamdulillah, setakat ini apa sahaja tugasan dapat dilaksanakan dengan jaya, berkat bantuan rakan-rakan serta sokongan mereka.
Moga-moga sokongan dan kerjasama rakan-rakan dapat di teruskan. Saya juga telah diberi mandat oleh Pengurusan KKLW untuk menyelaraskan Jawatankuasa Sukan MAKSPEN bagi pihak KKLW. Nampak mudah, tapi pengalaman menguruskan sukan MAKSPEN KKLW pada dua tahun yang lepas agak mencabar, tapi berkat bantuan rakan-rakan saya rasa tugasan ini boleh dijayakan bersama. InsyaAllah. Harapan saya, warga KKLW sama-sama memberi sokongan dalam menjayakan Sukan MAKSPEN yang akan diadakan pada bulan 14 -16 Jun nanti, di UPM, Serdang, Selangor.
Tugas sebagai "liason officer" Projek Pakej Rangsangan Ekonomi 2009 amat mencabar. Mencabar, kerana laporan perlu dihantar ke Perbendaharaan pada setiap 13hb. dan 28hb setiap bulan. Mencabar, kerana projek yang akan dilaksanakan oleh KKLW agak banyak. Dan lagi Mencabar jika KKLW menerima pula peruntukan di bawah Pakej Rangsangan Ke 2 yang akan diumumkan pada 10 Mac 2009 nanti oleh TPM.
Walau bagaimanapun saya yakin, rakan-rakan sejawat yang terlibat akan membantu dan dapat melakukannya dengan jaya. InsyaAllah.
Semoga hasrat membina 17,000 buah rumah orang miskin dapat dijayakan dalam tahun ini, serta membina jalan luar bandar yang baik di laksanakan di Sabah dan Sarawak dan jalan-jalan pertanian dapat dipertingkatkan demi kebaikan penduduk luar bandar dan seterusnya merancakan kegiatan ekonomi negara.
Mengikuti Lawatan YB Menteri KKLW Ke Pulau Banggi, Sabah
YB Menteri Luar Bandar dan Rombongan Di Pulau Banggi, Sabah.
Sekembali dari Sabah dan masuk pejabat selama 2 hari saya terbang pula ke Sarawak bersama Timbalan Ketua Setiausaha (Sosial) Y. Bhg Dato' Haji Basar. Tujuan membuat tinjauan projek Agropolitan Pulau Seduku, Batang Lupar, Sarawak.
Perjalanan dari Kucing ke Sri Aman mengambil masa 3 jam melalui jalan darat dan keesokan harinya kami menaiki bot laju menyusuri sungai Batang Lupa yang luas macam lautan selama 1 jam menuju Pulau Seduku.
Sayu rasanya bila melihat dan berjumpa dengan komuniti Pulau Seduku. Kehidupan mereka rata-rata sebagai nelayan sungai dan bergantung hampir 80% kepada alam sekitar. Dari bekalan air yang di tadah dari air hujan kepada bekalan elektrik yang disalurkan melalui cahaya solar stand-alone.
Sebahagian Ahli Rombongan Dalam Bot Laju
Setibanya kami di Pulau Seduku, kami disambut dengan wajah-wajah penduduk yang amat mengharapkan perubahan secepat mungkin. Manakan tidak, telah 51 tahun merdeka, mereka masih lagi tertinggal dalam segala-galanya.
Kami membuat tinjauan di sekitar penempatan mereka dengan menyusuri pelantar kayu yang dibina diseluruh perkampungan tersebut yang menghubungkan diantara satu rumah ke rumah lain. Pelantar dibina adalah kerana perkampongan tersbut sering ditenggelami air bila air pasang atau berlakunta "Benak" atau "Tider bore".
Pelantar Kayu Yang Menghubungkan Rumah-rumah.
Kami mengambil kesempatan melawat satu-satunya sekolah Kebangsaan yang tedapat di Pulau Seduku. Jumlah Murid hanya 19 orang sementara Gurunya seramai 13 orang.
Walaupun di sebuah pulau yang terpencil, soal pendidikan tidak diabaikan oleh Kerajaan.
Murid-murid Sedang Diberi Motivasi Oleh Guru Besar.
Asrama Sekolah.
Projek Agropolitan Pulau Seduku adalah sebuah projek yang akan menempatkan mereka di kawasan baru di tanah besar (Seduku Baru) iaitu kira-kira 32km dari bandar Sri Aman. Penduduk Pulau Seduku akan dipindahkan dan di diberi rumah baru, ladang pertanian dan tanah di persekitaran perumahan untuk bercucuk tanam. Tanaman sawit menjadi pilihan yang akan disediakan oleh KKLW bagi melepaskan mereka dari belengu kemiskinan. Projek ini akan dilaksanakan oleh FELCRA Berhad bagi pihak KKLW dan dijangka akan dimulakan sebaik sahaja urusan tanah di Seduku Baru diselesaikan.
Meninjau Kawasan Penempatan Baru Di Seduku Baru
Harapan kami, apabila siapnya projek ini, isu kemiskinan dan kesusahan yang dialami oleh penduduk Pulau Seduku akan terbela dan mereka terkeluar dari golongan miskin tegar. InsyaAllah.
Wassalam
Wednesday, February 18, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment