Salam Sejahtera

"Ini adalah semata-mata catatan saya berdasarkan kepada apa yang saya lalui, sama ada ianya urusan rasmi berkaitan tugas mahupun catatan aktiviti peribadi serta apa yang dirasakan seharusnya dikongsi bersama"
"USE YOUR HEART WHEN YOU DEAL WITH OTHERS, AND USE YOUR BRAIN WHEN YOU DEAL WITH YOURSELF"

Saturday, December 27, 2008

PERJALANAN HAJI SIRI I

Syukur Alhmadulillah, kami bedua selamat kembali ke Tanah Air pada malam 25 Disember 2008 setelah menempuh penerbangan selama 8 jam 10 minit dari Jeddah.

Alhamdulillah semuanya selamat dan sempurna dilaksnakan. Samaada kami mendapat Haji Mabrur itu adalah urusan Allah SWT. Harapan kami semoga kami diberikan Haji Mabrur.

Kembali saya ke Blog GolokSiam ini adalah untuk melakarkan serba sedikit pengalaman Perjalanan Kami mengerjakan Ibadat Haji untuk dikongsi bersama.

Pada tanggal 10 November 2008 kami bertolak dari Malaysia ke Madinah bagi memulakan perjalanan Haji kami dengan melaporkan diri di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya.

Diberi Taklimat oleh Ketua Package Haji Zahafiz Travel and Tours

Sebahagian Jemaah Haji Menanti Untuk Bertolak Ke KLIA

Tepat jam 12.00 malam kami di bawa dengan 12 buah bas ke KLIA dan bertolak dengan penerbangan Saudi Air tepat jam 1.30 pagi (11 November 208) menuju Madinah.

Penerbanga kami mengambil masa selama 8 jam 10 minit dan kami tiba di lapangan terbang Madinah pada jam 10.30 pagi waktu Malaysia, bersamaan jam 5.30 pagi waktu Madinah.

Di Lapangan Terbang Madinah.

Sebaik sahaja tiba di Madinah kami di bawa ke hotel penginapan yang letaknya lebih kurang setengah jam perjalanan dari lapangan terbang. Elaf Taibah Hotel (5 Bintang) menjadi hotel penginapan kami untuk tempoh 8 hari di Madinah.

Elaf Taibah Hotel

Perjalanan Haji kami bermula dengan melakukan ziarah ke Masjid Nabawi dan beberapa tempat bersejarah di Madinah di samping kami pada setiap waktu fardhu solat tidak melepaskan peluang untuk berkunjung dan melalkukan sembahyang berjemaah di Masjid Nabawi.
Masjid Nabawi Madinah.

Masjid Quba'

Sebahagian Jemaah Afrika Di Perkarangan Masjid.

Masjid Nabawi Dari Hotel Penginapan.

Jemaah Haji Indonesia Sedang Diberi Ceramah.

Lawatan Ke Makam Syuhada (Bukit Uhud).

Bekas Air Zam Zam Dalam Masjid

Mengambil Air Zam Zam Diperkarangan Masjid Nabawi.

Indahnya Masjid Nabawi.

Pasar Kurma Madinah.

Sekadar Kenangan.

Perjalanan Haji kami akan bersmabung di Siri II.

Tuesday, November 4, 2008

SERUAN KAABAH





Alhamdulillah, Syukur kami kepada Allah SWT kerana dengan izinNya Kami dapat menunaikan Ibadah Fardhu Haji pada tahun ini dan InsyaAllah Kami akan berangkat ke Mekah pada pagi 11 November 2008 nanti melalui penerbangan KT33.

Sesungguhnya peluang yang Kami perolehi amat besar hikmahnya. Ini adala kerana setiap Umat Islam sememangnya bercita-cita untuk menunaikan Ibadah Haji jika termampu dan mempunyai peluang. Bagi Kami peluang yang diperolehi adalah satu Rahmat yang tidak terhingga.

Sebaik sahaja Kami mendapat makluman Terpilih untk menunaikan Ibadah Haji, bermulalah persiapan Kami bagi menghadapinya. Dari menghadiri kursus Haji Bersiri di Masjid Al-Nur USJ 4 Subang Jaya selama 13 minggu, hinggalah mengikuti Kursus Haji Perdana anjuran Lembaga Tabung Haji dan Syarikat Zahafiz Travel and Tours Sdn. Bhd.


Sesungguhnya kursus-kursus yang Kami ikuti membuka minda Kami bahawa betapa besarnya hikmah mengerjakan Haji dan betapa banyaknya tatacara yang perlu diketahui samada dari segi hukum serta peraturan-peraturan mengerjakan Haji.

Harapan Kami sebelum berangkat semoga Kami diberikan oleh Allah kesihatan yang baik dan fikiran yang tenang. Mudah-mudahan Kami akan dapat mengerjakan Haji dengan sempurna dan mendapat Haji yang Mabrur. InsyaAllah.

Di kesempatan ini Kami menyusunjari sepuloh memohon keampunan dan kemaafan jika ada kesilapan Kami kepada pembaca semua dan Kami uga dengan penuh keinsafan dan sedar memaafkan kesilapan rakan-rakan, saudara mara serta sahabat yang mengunjungi Blog Kami ini. Sesungguhnya yang burok itu dari Kami jua dan yang baik itu hanya dari Allah SWT.

Wassalam.

Monday, October 6, 2008

Catatan Hari Raya Aidilfitri 2008

Tarikh 30 September 2008, hari akhir bagi umat Islam berpuasa bagi tahun 2008 mencatatkan sejarah bagi kami sekeluarga apabila pada tarikh tersebut kami bertolak dari Subang Jaya untuk pulang ke Kota Bharu, Kelantan bagi menyambut Aidil Fitri 2008.

Pada hari tersebut bukan sahaja kami yang sibuk untuk pulang ke kampung bagi menyambut Aidilfitri pada keesokan harinya, malahan puluhan ribu umat Islam di Kuala Lumpur juga turut sama keluar meninggalkan Kuala Lumpur menuju ke kampung masing-masing, samada ke Utara, Selatan dan Pantai Timur.

Kami bertolak tepat jam 7.00 pagi dari Subang Jaya, perjalan agak lancar dan boleh dikatakan tidak banyak kenderaan yang menuju ke Pantai Timur pada waktu itu, ini mungkin kerana pada dua atau tiga hari sebelumnya telah ramai yang telah meninggalkan Kuala Lumpur. Kebiasaanya pada sehari sebelum raya jalan agak tenang. Ramai sudah yang tiba di kampung.

Kami hanya berhenti sekali sahaja disepanjang perjalanan yang memakan masa lebih kurang 7 jam ke Kota Bharu melalui jalan Gua Musang. itu pun kerana anak saya perlu ke tandas....

Tepat jam 1.30 tenga hari, kami tiba di Kota Bharu. Agak awal juga kami sampai dan lambat lagi untuk berbuka puasa. Sementara menunggu waktu berbuka...sempat saya melelapkan mata sekejap, penat agaknya.

Selepas menunaikan sembahyang Asar, sempat saya ke bandar Kota Bharu. Malangnya lagi 3 km. menuju ke pusat bandar, kenderaan telah mulai bergerak agak perlahan (terlalu banyak kenderaan yang pulang beraya bersesak-sesak ke pusat bandar) saya mengambil keputusan untuk berpatah balik ke rumah mertua di Kubang Kerian. Suasana sedemikian bukanlah luar biasa bagi bandar Kota Bharu bila musim hari raya. Pusat bandar akan sesak sesesaknya sehari sebelum hari raya. Mungkin ada yang membeli belah persiapan raya di saat akhir atau sekadar meronda-ronda melihat Bandaraya Islam. Hajat di hati nak berbuka dengan Air Tuak (air nira kelapa). Telefon kawan untuk menbelinya. Nasib baik dapat bekalan untuk berbuka petang tersebut. Sepanjang bulan puasa di Subang Jaya, tiada bekalan air tuak. Maklumlah, hanya orang Kelantan sahaja yang minum tuak pada bulan puasa....jangan salah anggap air tu tak mabuk....ianya semacam air nira yang terkenal di sebelah Utara.

Kring......kring.....kring.......telefon di rumah mertua saya berdering tepat jam 7.00 petang (lagi 5 minit waktu berbuka). Kami sekeluarga yang sedang duduk di hadapan meja makan menantikan waktu berbuka tersentak dan terkejut menerima berita dari abang ipar yang ditimpa kemalangan jalan raya di kawasan Pagar Sasak, Kuala Lipis, Pahang. Tetapi selepas itu, kami semua bersyukur apabila mendapat kabar bahawa salah seorang anaknya hanya mengalami cedera ringan sahaja dan di rawat sebagai pesakit luar di hospital Kuala Lipis. Sementara yang lain-lain tidak cedera, kecuali keretanya yang agak teruk dan tidak dapat dipandu lagi selepas itu.

Apabila menerima berita kemalangan abang ipar, kami sekeluarga bebincang dan mengadakan plan menyelamatkan abang ipar yang terkandas di Pagar Sasak. Selesai sahaja berbuka dan selepas menunai sembahyang Maghrib, kami bersama 2 buah kenderaan bertolak ke Pagar Sasak, Kuala Lipis untuk mengambil keluarga ibang ipar seramai 4 orang untuk di bawa pulang ke Kota Bharu. Kami bertolak jam 9.00 malam dari Kota Bharu dan tepat jam 12.30 malam kami tiba di Pagar Sasak (perjalanan sejauh 295 km. dari Kota Bharu ke Kuala Lipis). Setiba sahaja di kawasan kemalangan kerja-kerja untuk menarik kenderaan abang ipar sedang dijalankan oleh "tow truck". Kereta ditunda ke Balai polis Kuala Lipis yang jaraknya 40 km. dari tempat kejadian. Selepas selesai urusan di balai polis, tepat jam 2.30 pagi kami bertolak pulang ke Kota Bharu dan tiba pada jam 6.30 pagi di pagi hari raya.

Tanggal 1 Oktober 2008...seluruh umat Islam di Malaysia menyambut Aidil Fitri dengan penuh kesyukuran kerana berjaya menunaikan puasa selama sebulan sebelumnya. Begitu juga kami sekeluarga.

Bagi kami raya tahun ini banyak membawa kenangan. Dan di pagi raya yang mulia itu, kami sekeluarga sempat mengabadikan kenangan bersama keluarga dengan mengambil gambar-gambar keluarga secara kumpulan.


Saya, isteri dan anak bersama bapa dan ibu mertua.


Abang ipar dan keluarganya. Berdiri paling kiri, anak lelaki yang cedera akibat kemalangan di Pagar Sasak, Lipis.


Bapa dan Ibu Mertua Dengan Cucu-cucunya.


Bapa dan Ibu Mertua dengan Menantu-menantunya.

Kami sekeluarga beraya selama 3 hari di Kota Bharu, Kelantan. Dan oleh kerana kesesakan berlaku pula di sekitar Bandar Kota Bharu, kami hanya menziarahi saudara terdekat sahaja dalam masa 3 hari beraya di kampung. Boleh dikatakan seluruh pelusuk negeri Kelantan agak sesak dengan kenderaan. Tidak banyak aktiviti lain yang dapat dilakukan. Cuma di pagi hari sebelum kami bertolak balik ke Subang Jaya, sempat saya memasang "Hydrofuel" di kenderaan kami. Katanya, kenderaan akan bergerak dengan menggunakan kuasa gas hydrogen dan akan menjimat penggunaan petrol sebanyak 70%. Dan memang terbukti, kereta saya menggunakan hanya 1 liter petrol bagi setiap 14 km. jarak.


Contoh Sistem Hydrofuel Yang Dipasang Di Kereta Saya

Pada petang 4 Oktober tibalah masanya untuk kami berangkat pulang ke Subang Jaya. Kami bertolak pada jam 1.30 petang dari Kota Bharu. Cadang untuk melalui jalan Gua Musang. Tetapi sesampai sahaja kami di Pekan Peringat, kenderaan mulai perlahan dan boleh dikatakan tidak bergerak selepas itu. Kring....kring....kringgg....HP saya berbunyi. seorang kawan dari Gua Musang memaklumkan bahawa beliau tersangkut di Pekan Macang menuju ke Kota Bharu dan telah menasihatkan kami agar melalui jalan Kuala Terengganu, jika hendak ke Kuala Lumpur oleh kerana keadaan jalan dari Macang ke Kuala Krai dikatakan tidak bergerak pada waktu itu oleh kerana terlampau banyak kenderaan yang menuju Kuala Lumpur.

Tampa membuang masa saya terus mengambil jalan di simpang empat Peringat menuju bandar Pasir Putih dan seterusnya menghala ke Kuala Terengganu, melalui Jerteh/Besut.

Telahan rakan saya dan saya sendiri bahawa jalan ke Kuala Lumpur melalui Terengganu mungkin tidak seteruk melalui Gua Musang meleset. Apabila tiba sahaja di bandar Pasir Putih, kenderaan yang menuju ke Besut dari pekan Pasir putih agak sesak dan bertali arus. Minyak hampir kehabisan, nasib baik sebuah petrol kios (ESSO) di bandar Pasir Putih masih lagi ada bekalan dan sempat kami mengisi penuh tangki minyak. Kesesakan kenderaan bermula sebaik sahaja kami menghampiri pekan Jerteh (masalah lampu isyarat yang terlalu cepat bertukar). Nasi telah menjadi bubur... kami tiada pilihan dan perlu meneruskan perjalanan. Kami hanya mengikut arus dan seterusnya tersangkut pula di kawasan Permaisuri hampir 2 jam akibat kenderaan terpaksa memperlahan pergerakan oleh kerana terdapat kerja-kerja membaiki jalan di kawasan Setiu......


Orang Nak Beraya Depa Sibuk Repair Jalan.....


Deretan Kenderaan Di Antara Pekan Setiu Ke Bandar Permaisuri..

Setelah melepasi jalan yang agak perlahan kami singgah di Masjid Chalok....untuk berehat seketika.


Masjid Kg. Chalok


Anak Jantan Boring Berehat Di Wakaf Masjid Kg. Chalok.

Kami tidak lama berehat di Masjid Kg. Chalok. perjalanan ke Kuala Lumpur di teruskan dan agak lancar selepas tersangkut hampir 2 jam di Permaisuri dan Setiu.

Jalan potong diambil untuk ke jalan Jerangau-Jabor melalui Tasik Kenyir/Kuala Berang. Kami mulai memasuki jalan menuju ke Kuala Berang selepas pekan Setiau pada jam 5.00 petang. Kami tiba di Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) pada jam 8.15 malam dan berhenti sembahyang Maghrib di Masjid AMBS (KETENGAH).


Pemandangan Masjid AMBS di Waktu Malam

Selesai menunaikan sembahyang Maghrib dan Jamak Isyak, kami ke R&R AMBS. Tiada apa yang boleh dimakan kerana semua makanan kehabisan oleh kerana terlalu ramai orang yang singgah di situ. Kami sekadar minum dan meneruskan perjalanan yang masih lagi jauh.

Bermula dari AMBS kenderaan mulai perlahan lagi apabila semuanya memperlahan kan kenderaan masing akibat seketan jalan raya oleh pihak JPJ (dummy road block). Saya rasa semua orang yang melalui jalan Jerangau-Jabor pada malam itu akan menyumpah seranah kepada pihak JPJ kerana mengadakan sekatan tanpa pegawai yang bertugas. Akibat sekatan tersebut kesesakan sepanjang kira-kira 20 km. telah berlaku.

Perjalanan diteruskan menuju Lebuh Raya Pantai Timur (LPT). Dan paling laju kenderaan boleh memecut hanya 60 km. sejam sahaja. Kami mulai mamasuki LPT kira-kira pada jam 10.00 malam. Perjalan melalaui LPT pada mulanya agak selesa walaupun banyak kenderaan. Kami berhenti rehat lagi di R & R Kuantan, kira-kira jam 11.00 malam dan hanya hidangan nasi lemak sahaja yang masih dijual. Selepas setengah jam berehat kami meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur. Sangkaan kami akan tiba sebelum jam 1.00 pagi, malangnya jangkaan kami meleset, kerana sekali lagi kami terperangkap di kesekakan jalan raya akibat sebuah Bas Kilang rosak kira-kira 5 km dari Genting Sempah. Kesesakan sepanjang 15 km. dan kenderaan hanya boleh meluncur 5 km. sejam. Kaki dan lutut terasa lenguh dan rasa-rasa kalau ada skru telah lama tercabut......


Kenderaan Bederet di LPT


Lagi 5 km. Menuju Genting Sempah.

Melepasi sahaja kawasan bas kilang rosak, perjalanan agak lancar menuju Genting Sempah dan seterusnya ke Plaza Tol Gombak. Selepas membayar tol di Plaza Tol Gombak kami mengambil jalan melalui MRR2 ke Subang Jaya dan kami tiba di Subang Jaya tepat jam 2.30 pagi pada 5 Oktober 2008. Perjalanan kami dari Kota Bharu ke Subang Jaya untuk Raya Aidil Fitri 2008 megambil masa 13 jam, satu rekod baru yang dicipta untuk sekian kalinya.

Begitulah catatan saya mengenai pengalaman pulang beraya tahun ini. Ianya menjadi satu kenangan yang tak akan dilupakan. Raya tahun hadapan entah macam mana. Mungkin kami akan terbang pulang ke kampung.

Kepada rakan-rakan yang membaca catatan ini Selamat Menyambut Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin. Wassalam

Monday, September 1, 2008

HIKMAT BERPUASA

Alhamdulillah, kita berjumpa kembali di hari pertama bulan Ramadhan ini. Semoga puasa kita akan mendapat barakah dan diterima oleh Allah S.W.T.

Tidak banyak cerita yang hendak saya sampaikan kali ini. Kesibukan tugasan di pejabat menyebabkan masa untuk berblog agak terhad. Tetapi sempena dengan bulan Ramadhan kali ini saya perturunkan sedikit maklumat mengenai Hikmah Berpuasa untuk renungan bersama.

HIKMAH PUASA RAMADHAN

Oleh Ustaz Syed Hasan Alatas

"Wahai orang-orang yang beriman ! Diwajibkan kepada kamu puasa sebagaimana telah diwajibkan atas orang-orang yang sebelum kamu,supaya kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa." (S.al-Baqarah:183)

PUASA menurut syariat ialah menahan diri dari segala sesuatu yang membatalkan puasa (seperti makan, minum, hubungan kelamin, dan sebagainya) semenjak terbit fajar sampai terbenamnya matahari,dengan disertai niat ibadah kepada Allah,karena mengharapkan redho-Nya dan menyiapkan diri guna meningkatkan Taqwa kepada-Nya.

RAMAHDAH bulan yang banyak mengandung Hikmah didalamnya.Alangkah gembiranya hati mereka yang beriman dengan kedatangan bulan Ramadhan. Bukan sahaja telah diarahkan menunaikan Ibadah selama sebulan penuh dengan balasan pahala yang berlipat ganda,malah dibulan Ramadhan Allah telah menurunkan kitab suci al-Quranulkarim,yang menjadi petunjuk bagi seluruh manusia dan untuk membedakan yang benar dengan yang salah.

Puasa Ramadhan akan membersihkan rohani kita dengan menanamkan perasaan kesabaran, kasih sayang, pemurah, berkata benar, ikhlas, disiplin, terthindar dari sifat tamak dan rakus, percaya pada diri sendiri, dsb.

Meskipun makanan dan minuman itu halal, kita mengawal diri kita untuk tidak makan dan minum dari semenjak fajar hingga terbenamnya matahari,karena mematuhi perintah Allah.Walaupun isteri kita sendiri, kita tidak mencampurinya diketika masa berpuasa demi mematuhi perintah Allah s.w.t.

Ayat puasa itu dimulai dengan firman Allah:"Wahai orang-orang yang beriman" dan disudahi dengan:" Mudah-mudahan kamu menjadi orang yang bertaqwa."Jadi jelaslah bagi kita puasa Ramadhan berdasarkan keimanan dan ketaqwaan.Untuk menjadi orang yang beriman dan bertaqwa kepada Allah kita diberi kesempatan selama sebulan Ramadhan,melatih diri kita,menahan hawa nafsu kita dari makan dan minum,mencampuri isteri,menahan diri dari perkataan dan perbuatan yang sia-sia,seperti berkata bohong, membuat fitnah dan tipu daya, merasa dengki dan khianat, memecah belah persatuan ummat, dan berbagai perbuatan jahat lainnya.Rasullah s.a.w.bersabda:

"Bukanlah puasa itu hanya sekedar menghentikan makan dan minum tetapi puasa itu ialah menghentikan omong-omong kosong dan kata-kata kotor."
(H.R.Ibnu Khuzaimah)

Beruntunglah mereka yang dapat berpuasa selama bulan Ramadhan, karena puasa itu bukan sahaja dapat membersihkan Rohani manusia juga akan membersihkan Jasmani manusia itu sendiri, puasa sebagai alat penyembuh yang baik. Semua alat pada tubuh kita senantiasa digunakan, boleh dikatakan alat-alat itu tidak berehat selama 24 jam. Alhamdulillah dengan berpuasa kita dapat merehatkan alat pencernaan kita lebih kurang selama 12 jam setiap harinya. Oleh karena itu dengan berpuasa, organ dalam tubuh kita dapat bekerja dengan lebih teratur dan berkesan.

Perlu diingat ibadah puasa Ramadhan akan membawa faaedah bagi kesehatan
rohani dan jasmani kita bila ditunaikan mengikut panduan yang telah ditetapkan, jika tidak maka hasilnya tidaklah seberapa malah mungkin ibadah puasa kita sia-sia sahaja.

Allah berfirman yang maksudnya:

"Makan dan minumlah kamu dan janganlah berlebih-lebihan sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan." (s.al-A'raf:31)

Nabi s.a.w.juga bersabda:

"Kita ini adalah kaum yang makan bila lapar, dan makan tidak kenyang."

Tubuh kita memerlukan makanan yang bergizi mengikut keperluan tubuh kita. Jika kita makan berlebih-lebihan sudah tentu ia akan membawa muzarat kepada kesehatan kita. Boleh menyebabkan badan menjadi gemuk, dengan mengakibatkan kepada sakit jantung, darah tinggi, penyakit kencing manis, dan berbagai penyakit lainnya. Oleh itu makanlah secara sederhana, terutama sekali ketika berbuka, mudah-mudahan Puasa dibulan Ramadhan akan membawa kesehatan bagi rohani dan jasmani kita. Insy Allah kita akan bertemu kembali.

Allah berfirman yang maksudnya: "Pada bulan Ramadhan diturunkan al-Quran
pimpinan untuk manusia dan penjelasan keterangan dari pimpinan kebenaran
itu, dan yang memisahkan antara kebenaran dan kebathilan. Barangsiapa menyaksikan (bulan) Ramadhan, hendaklah ia mengerjakan puasa.

(s.al-Baqarah:185)

Harapan saya dengan sedikit petikan di atas puasa kita akan menjadi lebih barakah dan mendapat keredaaNya. Wassalam dan Selamat Berpuasa.


Wednesday, August 6, 2008

HARGA MINYAK DUNIA

Assalamualaikum,

Kepada pembaca yang dimuliakan, di bawah saya paparkan kedudukan harga minyak dunia dan ramalan yang telah dibuat oleh penganalisis minyak untuk tatapan kita semua. Bukan apa, dewasa ini ramai dikalangan kita yang risau dan dan resah apabila harga minyak naik mendadak sehinggakan kita kini terpaksa membayar RM2.70 bagi setiap liter yang dimasukkan ke dalam tangki minya kereta kita.

Berdasarkan tend yang ditunjukkan di bawah, harga minyak telah menurun bermula awal minggu ini dan dijangka turun lagi....pelan-pelan katanya. Semoga penstrukturan semula minyak yang akan dilaksanakan oleh Karajaan Malaysia pada setiap awal bulan akan menunjukkan penurunan bermula pada 1 September 2008, sepertimana yang dijanjikan. Pada 5 Ogos 2008, harga minyak dicatatkan pada harga USD118.68/barrel.

Oil Dashboard
August, Tuesday 5 2008 - 17:33:59
Crude Oil
$118.68
▼2.13
1.76%
17:34 PM EDT - 2008.08.05


Crude Oil Price by OIL-PRICE.NET ©
Price
Change
Trades Volume
17:34 - $ 118.68
2.13 1.76% 108,040 298,918
Range Open 52 Wk Range 1 Year Forecast
118.47 - 121.23
119.68
85.89 - 145.85 $154.28 / Barrel

Sekadar renungan bersama. Marilah sama-sama kita medoakan agar harga minyak terus turun........

Wassalam.

Monday, July 21, 2008

HARI-HARI YANG MENCABAR

Selesai sahaja PRU12 pada 8 Mac 2008, negara kelihatan seperti hilang tumpuan dan arah. Pelbagai isu timbul, dari soal politik hinggalah kepada masalah kehidupan seharian. Ada rakan-rakan yang merungut, buat kerja kini tidak seperti tahun-tahun sebelumnya. Banyak arahan dan peraturan baru dikeluarkan oleh pemerintah akhir-akhir ini. Katanya lagi "setiap hari ada perubahan dalam pelaksanaan tugas".

Banyak rungutan yang disuarakan dari kumpulan atasan hinggalah kepada kumpulan bawahan. Dari harga minyak kepada harga ayam, tapi walau macam mana mahalpun harga ayam, masih ramai warga Putrajaya berkunjung ke Restoran Faridah di Bukit Puchong, untuk menikmati Nasi Ayam Kampung. Jalan-jalan di KL masih juga jem seperti baiasa walaupun harga minyak naik 40%. Setiap hujung minggu jalan-jalan utama keluar dari KL pasti sesak dengan deretan kenderaan mereka yang hendak pulang ke kampung dan sebaliknya pada setiap petang Ahad.

Dalam keadaan semua harga barang meningkat, tidak pula kita lihat atau dengar kempen-kempen supaya kita berjimat cermat......mana dia saluran TV yang betul-betul agresif membuat kempen supaya rakyat berjimat cermat.....sebaliknya iklan barangan baru saban hari disiarkan saat demi saat di kaca TV. Dan secara tidak langsung untuk menarik penonton untuk terus membeli dan membeli.....jadi bila masa nak berjimat.

Tak lama lagi tarif elektrik akan dinaikkan.....satu lagi beban yang akan kita hadapi, bagi mereka yang memiliki 2 atau 3 unit pendingin udara, bolehlah mula belajar-belajar berjimat.....bukan apa, unit pendingin udara memerlukan bekalan elektrik yang tinggi. Tapi, manakan mereka akan berjimat dalam keadaan cuaca yang agak panas akhir-akhir ini.....tidur malam tanpa pendingin udara, ibarat tidur dalam pembakar roti bagi mereka yang menghuni rumah-rumah batu. Maknanya, keadaan yang tidak mengizinkan kita berjimat cermat.....

Sekian, komen dan pemerhatian saya setakat ini. Jika ada apa-apa komen dari pembaca, silalah post kan....komen berkenaan untuk kita sama-sama berkongsi pengalaman dan rasa.

Wassalam.

Monday, June 30, 2008

MESYUARAT MEXCLUB 2008

Alhamdulillah, Mesyuarat Penyelarasan Antara YB Menteri Kemajuan Luar Bandar dengan Exco-Exco Luar Bandar (MEXCLUB) Bil. 1/2008 telah selesai diadakan di Pahang pada 29 Jun 2008. Dalam mesyuarat berkenaan sebanyak 5 kertas telah dibentangkan dan banyak isu-isu dan permasalahan pembangunan luar bandar telah dibincangkan secara serius oleh ahli-ahli mesyuarat . Di antara isu dan masalah yang dibangkitkan ialah isu dan permasalahan golongan miskin di luar bandar.

Foto 1: Sebahagian Ahli Mesyuarat MEXCLUB memberi perhatian kepada isu yang sedang dibincangkan.


Nampaknya matlamat mesyuarat untuk memaklumkan peranan dan fungsi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) telah berjaya disampaikan dengan baik dan difahami oleh semua ahli-ahli Exco Luar Bandar yang hadir. Disamping itu, KKLW juga telah diberikan banyak maklumbalas oleh Exco-Exco Luar Bandar akan permasalahan dan isu semasa yang dihadapi oleh kumpulan sasar di luar bandar.

Foto 2: YB Menteri Kemajuan Luar Bandar memberi perhatian serius kepada isu yang dibangkitkan....

Apa yang hendak saya perkatakan disini bukanlah mengenai mesyuarat di atas, tapi aktiviti sampingan yang telah diadakan sehari sebelum mesyuarat, iaitu beberapa lawatan ke dua buah kampung di negeri Pahang. Kegigihan YB Menteri iaitu YB Senator Tan Seri Muhammad Muhammad Taib membuat lawatan dan turun padang meninjau kemajuan beberapa projek luar bandar , khusunya projek-projek bagi membantu golongan miskin di luar bandar menjadi buah mulut semua pegawai KKLW, malahan saban minggu di paparkan di dada-dada media massa.

Sehari sebelum mesyuarat iaitu pada 28 Jun 2008, YB Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, pegawai-pegawai kanan dan ahli-ahli mesyuarat telah mengikuti beberapa aktiviti yan telah diatur. Pada sebelah paginya, sesampai sahaja YB Menteri dari Kuala Lumpur, beliau telah menghadiri Majlis Perasmian Medan Infodesa (MID) di Kampung Sungai Pancing Utara. MID adalah merupakan satu program yang bermatlamatkan untuk mengurangkan jurang digital di antara luar bandar dengan bandar. Pembinaan MID ini telah dimulakan pada tahun lepas dan mula beroperasi pada akhir tahun lepas. Sambutan masyarakat Kampung Sungai Panching Utara begitu meriah sekali semasa majlis perasmian diadakan dengan lebih dari 500 hadirin termasuk penduduk setempat meraikan perasmian MID berkenaan. KKLW telah membina sebuah bangunan yang lengkap dengan kemudahan komputer (20 Unit komputer meja) serta menempatkan seorang Pengurus bagi melatih dan memberi tunjuk ajar kepada penduduk setempat dari segi kegunaan dan kepentingan ICT.

Foto 3: Medan Infodesa Kampung Sungai Panching Utara, Pahang.

Apa yang menjadi saya kebanggaan saya semasa Majlis Persamian MID ini ialah penerimaan masyarakat setempat kepada projek MID KKLW. Bukan sahaja golongan pelajar sekolah yang telah memanfaatkan kemudahan MID ini, malahan golongan warga tua juga turut sama memanfaatkan kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan dan KKLW khususnya. (Setakat ini lebih daripada 300 buah MID telah dibangunkan oleh KKLW di seluruh negara)

Foto 4: YB Menteri KKLW berucap merasmikan MID Kg. Sungai Panching Utara.

Foto 5: YB Menteri KKLW sedangnmemotong riben perasmian MID Kg Sungai Panching Utara.

Foto 6: Sebahagian penduduk tempatan, kanak-kanak dan warga emas memanfaatkan kemudahan ICT di MID Kg. Sg Panching Utara....

Foto 7: Siapa kata saya buta ICT..........

Bagaimana kemudahan ICT juga turut memberi kemudahan kepada warga tua di Kg. Sg Panching Utara dapat dilihat daripada gambar-gambar berikut: (Syabas kepada KKLW).

Foto 8: Seorang ibu tua berumur 65 tahun sedang membaca e-mail anaknya.....

Foto 9: Jangan lupa layari Blog saya - http://www.muhammadmuhdtaib.com

Foto 10: "Tengok, macam-macam maklumat boleh diperolehi dari ICT"

Selesai merasmikan MID Kg. Sg. Panching Utara di sebelah pagi, YB Menteri KKLW terus ke Kg Cherating di sebelah petang untuk lawatan ke Pusat Anyaman Cherating. Pusat ini adalah salah satu premis perusahaan yang telah dibangunkan oleh Bahagian Ekonomi Desa. KKLW bagi menempatkan pengusaha-pengusaha anyaman mengkuang bagi menghasilkan pelbagai produk anyaman mengkuang.

Sempena lawatan ke Pusat ini YB Menteri telah berpesan agar kualiti produk anyaman mengkuang dipertingkatkan dari segi mutu dan kualiti penghasilan agar ianya dapat diterima baik terutama dikalangan pelancong-pelancong asing yang sememangnya ramai berkunjung ke pusat pelancongan di Cherating.

Foto 11: Pusat Anyaman Mengkuang Cherating, Pahang.

Foto 12: "Ini kena perkemas lagi anyamannya......."

Foto 13: Ruang pameran yang tersusun rapi dan menarik.

Foto 14: Sebahagian daripada produk anyaman yang diusahakan oleh penduduk tempatan..menarik dan menawan.

Selesai melawat Pusat Anyaman Mengkuang, YB Menteri KKLW dan rombongan seterusnya ke Bengkel Pengusaha Bantuan Ekonomi Kampung (BEK) Kraftangan, yang terletak lebih kurang 3 km. dari Pusat Anyaman Mengkuang. Bengkel ini adalah salah satu projek di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat Malaysia (KEMAS) yang dibangunkan untuk membantu penduduk mempelajari cara-cara membuat pelbagai produk kraftangan dari bahan-bahan yang terdapat disekitar kampung.

Foto 15: Papan Tanda Bengkel Pengusaha Bantuan Ekonomi Kampung (BEK-KEMAS) KKLW.

Foto 16: Bengkel Pengusaha Bantuan Ekonomi Kampung (BEK)

Foto 17: Sebahagian peralatan bengkel yang disediakan oleh BEK

Foto 18: Mendengar penjelasan operasi bengkel dari pengusaha yang gigih.....

Foto 19: Bahagian dalam Bengkel dan produk yang dihasilkan

Foto 20: Kenangan ahli rombongan bersama pengusaha bengkel BEK

Foto 21: YB Menteri bersama pengusaha-pengusaha Bengkel BEK.

Pada petang yang sama juga rombongan YB Menteri bersama-sama pegawai-pegawai kanan KKLW menghadiri Majlis Perasmian Gotong Royong Projek Program Bantuan Rumah (PBR) di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) di kawasan berhampiran.

Pada Majlis ini YB Menteri telah melancarkan program gotong royong membina seuah rumah PBR untuk salah seorang penduduk miskin tegar dan juga menyampaikan bantuan Makanan Tambahan kepada sepuloh orang penduduk miskin tegar.

Di bawah Program PBR ini, Kerajaan memberi bantuan rumah samada dalam bentuk sebuah rumah baru dengan harga di antara RM18,000.00 hingga RM22,000.00 atau bantuan baik pulih rumah penduduk miskin dengan kos maksima RM8,000.00.

Foto 22: Majlis Perasmian Gotong Royong Projek PBR, Kg. Cherating, Pahang

Foto 23: YB Menteri KKLW menyampaikan Bakul Bantuan Makanan Tambahan kepada warga miskin.Foto 24: Keadaan rumah asal miskin tegar.

Foto 25: Berganding bahu membina rumah PBR.

Foto 26: Sebahagian dinding yang telah siap didirikan.

Program gotong royong membina rumah PBR sebenarnya bukanlah baru dilakukan oleh KKLW, sebenarnya pada dua tahun yang lepas pembinaan secara gotong royong pernah dibuat bagi memupuk semangat gotong royong dikalangan penduduk tempatan dan bagi menjimatkan kos pembinaan. Program gotong royong yang dilakukakan di Kg. Cherating ini juga telah mendapat kerjasama dari Pelatih-pelatih PLKN yang sedang menjalani latihan di kem berhampiran. Terima kasih kepada pelatih-pelatih PLKN yang turut membantu.

Begitulah selama dua hari lawatan YB Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berserta pegawai-pegawai kanan KKLW ke negeri Pahang sempena Mesyuarat Mexclub yang julung-julung kalinya di adakan pada tahun ini.

Semoga apa yang dipaparkan diruangan ini akan memberi sedikit maklumat bukan sahaja mengenai program dan aktiviti KKLW, malah akan memberi kesedaran kepada kita bahawa masih banyak yang perlu dilakukan oleh kita untuk membangunkan luar bandar, terutamanya dalam usaha Kerajaan untuk meningkatkan taraf ekonomi penduduk luar bandar.