Salam Sejahtera

"Ini adalah semata-mata catatan saya berdasarkan kepada apa yang saya lalui, sama ada ianya urusan rasmi berkaitan tugas mahupun catatan aktiviti peribadi serta apa yang dirasakan seharusnya dikongsi bersama"
"USE YOUR HEART WHEN YOU DEAL WITH OTHERS, AND USE YOUR BRAIN WHEN YOU DEAL WITH YOURSELF"

Monday, March 28, 2011

Salam Dari Bumi Kenyalang

Salam Sejahtera,

Bermula hari ini 28 Mac 2011 sebahagian kakitangan saya mula berkampung di Sarawak. Bukan untuk berkempen pilihanraya DUN Sarawak, tetapi melaksanakan tugas pemantauan dan pelaksanaan projek KKLW yang perlu dilaksanakan terutama projek-projek NKRA.

Ada yang dihantar ke Sibu, Miri, Mukah, Sarikei dan Bintulu. Tujuan kami hanya satu, untuk membantu Negeri Sarawak, agar semua projek-projek yang dirancangkan dilaksanakan segera.

Seramai 35 kakitangan saya yang dibawa dari Semenanjung setia untuk berkhidmat untuk tempoh 20 hari berada di Sarawak. InsyaAllah kami akan pastikan semua projek yang telah diluluskan dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.

Salam.

Sunday, March 20, 2011

Kapak Siam

Hari ini sekali lagi saya diserang oleh salah satu portal internet dan ditawarkan dengan "Kapak Sie" (Kapak Siam). Sebagai orang yang dilahirkan di Kelantan dan bersempadan dengan Selatan Thailand (Siam), sememangnya sering mendengar akan ugutan-ugutan pada suatu masa dahulu terutama pada tahun-tahun 60an dan 70an, jika berlaku pergaduhan, kapak siamlah yang akan dijadikan senjata jika berlaku pergaduhan. Sememangnya kapak siam, bukanlah besar sangat, paling panjangpon 5 inci dan mempunyai mata yang agak kecil tetapi berbahaya jika digunakan sebagai senjata.

Tawarkanlah apa saja kepada saya, saya akan terus berbakti kepada negara demi untuk memajukan masyarakat luar bandar. Selagi saya mempunyai kudrat dan khidmat diperlukan, saya tidak akan mengaku kalah, apatah lagi takut kepada tuduhan dan apa saja bentuk yang mendakwa saya sebagai dalang utama, sehingga melangkau kuasa Menteri malahan Perdana Menteri dalam projek tertentu Kerajaan.

Semenjak berita yang mendakwa saya terlibat di dalam penentuan projek tertentu Kerajaan dan banyak mempunyai kepentingan, sehingga saat ini, saya masih lagi menunggu bilakah saya akan disiasat oleh pihak berkuasa. Kerana jika saya membuat laporan, saya dikatakan pengecut dan takut dengan kebenaran? Mengapa tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa jika penyebar berita mendakwa telah membuat siasatan dan mempunyai bukti! Saya bukan mencabar, tetapi terkilan. Seolah-olah jika kita melihat orang sedang mencuri, tak perlu dilaporkan kepada pihak berkuasa, cukup disebarkan di alam siber! Biar seluruh dunia mengetahui kejadian berkenaan. Jika begini sikap kita sampai bila pencuri itu akan bebas mencuri dan terus mencuri dan setiap kali beliau mencuri, kita terus menyebarkan berita berkenaan tampa berbuat sesuatu yang betul dan terus membiarkan pencuri itu meneruskan kerja mencurianya.

Thursday, March 10, 2011

Boneka oh Boneka.....

Alangkah terperanjatnya apabila hari ini satu dunia membaca portal Sabahkini yang meyiarkan satu artikel yang saya anggap satu fitnah yang teramat besar dalam sejarah hidup saya selama hampir 53 tahun menumpang berteduh di bumi yang fana ini. Bagi saya "Allah Maha Mengetahui" dan semoga kepada Intan Zubaidah Abdul Halim yang menulis artikel berkenaan Allah S.W.T mengampunkan dosa-dosa beliau dan di masukkan ke dalam golongan mereka yang beriman kelak, Amin.

Saya mengambil langkah tidak akan menjawab segala pertuduhan yang disiarkan, sebaliknya menyerahkan kepada seluruh Rakyat Malaysia dan Dunia untuk menilai kebenarannya. Jika benar apa yang dikatakan, bawa saja kemuka pengadilan atau laporkan saja kepada pihak yang berwajib.